Asus secara rasminya telah melancarkan telefon pintar terbarunya, ZenFone 6 awal pagi semalam. Majlis pelancaran yang diadakan di Valencia telah melenyapkan sebahagian desas-desus mengenainya.
Secara ringkasnya, ZenFone 6 menawarkan kamera selak (flip) sudut bebas bermotor yang menempatkan kamera utamanya yang terdiri daripada penderia 48MP Sony IMX586, berlensa f/1.79 lensa 6-elemen, dan sistem autofocus laser. Pada modul yang sama juga turut menempatkan sebuah lagi kamera bersudut ultra lebar 13MP.
Telefon pintar Asus terbaru ini turut menyediakan paparan IPS HD+ Penuh 6.4 inci. ZenFone 6 menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 855 dengan konfigurasi memorinya ditawarkan sehingga 8GB. Di samping itu, telefon juga dilengkapkan dengan storan UFS2.1 dengan kapasiti yang ditawarkan sehingga 256GB.
Asus turut menyediakan pelbagai fungsi peningkatan kualiti audio pada telefon pintar ini termasuk speaker stereo, penguat pintar dwi-NXP, output audio beresolusi tinggi, dan juga sokongan untuk DTS: X Ultra. Telefon ini juga menawarkan bateri berkapasiti 5000mAh yang disokong oleh fungsi pengecasan pantas Qualcomm QuickCharge 4.0.
Untuk harganya, ZenFone 6 ditawarkan pada harga €499 (lebih kurang RM 2,327) untuk konfigurasi 6GB RAM, storan dalaman 64GB. Manakala varian 6GB/128GB dan 8GB/256GB pula, harga yang ditawarkan masing-masing adalah €559 (lebih kurang RM 2,607) dan €599 (lebih kurang RM 2,794). Setakat ini masih belum ada khabar berita mengenai kemasukan telefon pintar ini ke pasaran Malaysia.
Sumber berita diperoleh dari Asus