Astro hari ini telah mengumumkan para pelanggan Astro IPTV boleh mendapatkan naik taraf percuma ke Astro Ultra Box. Peranti ini menawarkan keupayaan tambahan seperti kandungan 4K UHD, storan rakaman awanan, dan pilihan main semula lanjutan.
Bagaimanapun, beberapa syarat perlu dipenuhi untuk layak mendapat naik taraf ke peranti ini secara percuma.
Buat masa ini, Astro Ultra Box ditawarkan hanya untuk pelanggan IPTV yang menggunakan rangkaian Maxis Fibre dan rangkaian fiber sahaja.
Naik taraf percuma ini juga tidak ditawarkan kepada pelanggan Family Pack. Selain itu, hanya pelanggan yang telah tamat kontrak sahaja yang layak.
Hal ini kerana, bagi pelanggan Astro yang layak dan berminat untuk menaik taraf ke Ultra Box perlu mengikat kontrak baharu sehingga 24-bulan. Sepanjang kontrak baharu ini, pada pelanggan turut menerima rebat sebanyak RM20 sebulan.
Astro Ultra Box juga ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan baru yang mendaftar dengan pakej Astro & Broadband. Pelanggan-pelanggan yang baru ini juga menerima rebat bulanan sebanyak RM10 selama 24 bulan.
Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web rasmi Astro & Broadband.