Astro pada hari ini telah mengumumkan perlanjutan akses percuma ke saluran-saluran terpilih untuk semua pelanggannya hingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 12 Mei ini.
Pada masa yang sama, Astro turut menambah bilangan saluran yang boleh ditonton secara percuma untuk para pelanggannya.
Sebanyak 7 saluran baru ditambah untuk dinikmati secara percuma oleh seluruh pelanggan Astro. National Geographic Channel, Nat Geo WILD, HISTORY, Discovery Channel, Discovery Asia, Discovery Science, dan Animal Planet merupakan tambahan dari saluran-saluran yang diberikan secara percuma sebelum ini.
Terdahulu, Astro sudahpun menyediakan akses secara percuma ke 14 saluran filem dan 12 saluran berita. Tidak ketinggalan, saluran khusus seperti Cartoon Network dan HITS HD turut diberikan akses.
Perlanjutan akses tontonan percuma ini turut ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan NJOI dengan saluran-saluran yang sama. Selain itu, bukan pelanggan Astro juga diberikan akses percuma ke 22 saluran melalui Astro GO sehingga 12 Mei ini.
Untuk menikmati Astro GO, anda boleh mendapatkannya menerusi pelayar internet serta pada aplikasi Android dan juga iOS.