Perkhidmatan edompet dari Petronas, Setel kini memperkenalkan satu lagi ciri baharunya iaitu pembayaran parkir kereta. Kaedah pembayaran ini menampilkan keunikannya yang tersendiri dengan melalui pengecaman nombor plat kenderaan.
Ciri tersebut kini mula digunakan di Suria KLCC dan pengguna perlu melalui laluan keluar-masuk parkir khas Setel. Laluan tersebut dilengkapkan sistem pengecaman automatik nombor pendaftaran kenderaan (ANPR) bagi membolehkan kaedah pembayaran tersebut dapat dilakukan.
Lokasi berkenaan setakat ini tidak dinyatakan secara tepat di dalam laman web Setel, namun anda dapat mengenalpastinya menerusi kain rentang yang dipacakkan pada lorong berkenaan.
Palang laluan akan dibuka sebaik sahaja sistem mengesahkan anda telah mengaktifkan Setel sebagai pilihan bayaran untuk kenderaan anda.
Bayaran parkir seterusnya akan ditolak secara automaik dari baki di dalam edompet Setel anda. Anda tidak boleh keluar dari parkir jika tidak mempunyai baki yang mencukupi. Pun begitu, anda masih lagi boleh memasuki kawasan parkir walaupun mempunyai baki yang amat sedikit.
Proses pengaktifan ciri ini agak mudah dilakukan di dalam aplikasinya menerusi pilihan ‘Parking’ di dalam bahagian ‘More’ aplikasi Setel. Seterusnya, anda hanya menambah maklumat yang diperlukan berkenaan kenderaan anda dan ketik pada ‘Add Vehicle’. Masukkan seterusnya nombor plat kenderaan dan juga passcode Setel anda untuk melengkapkan proses pengaktifan tersebut.
Berdasarkan laman soalan lazim Setel, anda boleh memasukkan lebih daripada satu kenderaan di dalam aplikasi tersebut. Namun, hanya satu kenderaan sahaja yang dapat disokong untuk fungsi parkir dalam satu-satu masa.
Setel juga menyatakan lebih banyak lagi fungsi pembayaran akan disediakan pada masa hadapan dan tidak terhad pada parkir sahaja menurut laman soalan lazimnya berkenaan.
Selain dari Suria KLCC, Pusat Konvensyen KLCC dan KLCC Lot 91 yang berhampiran dengannya juga akan menerima sokongan pembayaran parkir melalui Setel tidak berapa lama lagi.
Anda boleh mendapatkan aplikasi Setel menerusi Apple AppStore dan juga Google Play.