USB Type-C atau juga dikenali sebagai USB-C merupakan spesifikasi kabel dan penyambung 24-pin yang boleh memindahkan data, kuasa, audio dan video di antara peranti.
Ia berbentuk sedikit membujur yang memanjang, dan boleh diterbalikkan untuk digunakan dalam pelbagai arah serta lebih nipis dan kecil berbanding penyambung-penyambung USB sebelumnya. Dibangunkan oleh USB Implementers Forum (USB-IF), penyambung jenis ini juga boleh digunakan pada kebanyakan peranti masa kini seperti laptop, tablet, telefon pintar, dan juga alat kawalan permainan video.
Kebanyakan pengeluar peranti menyokong jenis USB ini kerana ia boleh menggunakan protokol USB 2.0, USB 3.0 atau USB 3.1 untuk penghantaran data atau kuasa, serta boleh memindahkan data pada kelajuan 1,000 Mbps.
Adakah USB-C sama dengan Mikro USB?
Sekali pandang penyambung USB Type-C kelihatan sama seperti penyambung mikro USB. Namun, jika dilihat secara dekat, bentuknya kelihatan lebih membujur bagi menyokong cirinya yang boleh diterbalikkan.
Ia memberikan kemudahan kepada pengguna untuk terus ‘mencucuk’ kabel dan penyambungnya terus ke peranti tanpa perlu bersusah payah atau tersilap pasang. Penetapannya yang telah diselaraskan untuk hampir setiap jenis peranti juga memudahkan ketersesuaian antara peranti dan juga kabel-kabel yang digunakan.
USB Type-C dan USB 3.2; Maksud nombor-nombor yang tertera
USB-C dibezakan pada jenis kelajuan yang disokongnya. Pada kebiasaannya, kelajuan penyambung USB-C adalah pada 10Gbps dan kelajuan ini secara teorinya dua kali ganda lebih pantas berbanding USB 3.0 ketika mula diperkenalkan dahulu. Port USB-C yang menyokong kelajuan ini dikenali sebagai “USB 3.2 Gen 1×2.”
Kelajuan 10Gbps pada port-port USB juga boleh wujud pada port USB rekabentuk asal berbentuk petak yang sering dikenali sebagai USB Type-A atau “USB 3.2 Gen 2×1.” Selain dari sesetengah desktop, port USB berkelajuan 10Gbps dengan penyambung fizikal USB-C kini semakin mudah diketemukan.

Bagaimanapun, sesetengah port USB-C lama hanya menyokong kelajuan kurang dari 5Gbps. Untuk itu, adalah penting untuk anda perhatikan sama ada dinyatakan ia sebagai “USB 3.2 Gen 1×2” atau “10Gbps” bagi menentukan sama ada port USB-C berkenaan menyokong pemindahan 10Gbps. Kesemuanya boleh disambungkan antara satu-sama-lain tanpa sebarang masalah, ia hanya dibezakan dari segi kelajuan maksimum yang disokongnya sahaja.
Pun begitu, penamaan yang digunakan untuk USB-C ini agak mengelirukan dan adakalanya sesetengah pengeluar tidak begitu jelas mengenainya. Setakat ini, kebanyakan port USB-C hadir dengan label USB 3.1 dengan dibezakan pada Gen 1 dan Gen 2 memandangkan “USB 3.2” sebenar masih belum ada lagi. Ia juga digunakan bersama-sama penandaan SuperSpeed bagi membezakan tahap-tahap kelajuannya.
Jenis-jenis USB Type-C
Memeningkan lagi keadaan, USB-IF telah membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan “USB 3.1” bagi memberikan perincian pada USB 3.2 seperti di dalam jadual di bawah:
Nama USB | Kelajuan tertinggi | Dahulu dikenali sebagai | Penandaan SuperSpeed | Jenis Penyambung |
USB 3.2 Gen 1 | 5Gbps | USB 3.1 Gen 1, USB 3.0 | SuperSpeed USB 5Gbps | USB Type-A atau Type-C |
USB 3.2 Gen 1×2 | 10Gbps | — | SuperSpeed USB 10 Gbps | USB Type-C |
USB 3.2 Gen 2×1 | 10Gbps | USB 3.1 Gen 2 | SuperSpeed USB 10Gbps | USB Type-A atau Type-C |
USB 3.2 Gen 2×2 | 20Gbps | — | SuperSpeed USB 20Gbps | USB Type-C |
Penandaan USB 3.2, USB 3.1 dan SuperSpeed seperti pada setiap baris di dalam jadual di atas adalah sama, cuma dibezakan pada namanya. Jika anda melibat label USB 3.1, anda boleh merujuk kelajuan maksimum pemindahan data port berkenaan dengan pihak pengeluar atau penjual peranti berkenaan.
Sesetengah port USB-C menggunakan spesifikasi USB 3.2 Gen 2×2 dengan kelajuan maksimum 20Gbps. USB-IF memutuskan untuk melabelkan dengan “2×2” kerana standard ini menggandakan laluan data di dalam kabel USB-C bagi mencapai kelajuan pemindahan data 20Gbps.
Port berkenaan masih lagi belum ditawarkan secara meluas buat masa ini dan mungkin akan digantikan dengan USB-C baharu kelak yang menurut USB-IF mampu menyokong kelajuan data sehingga 120Gbps.
Bagi mengurangkan kekeliruan mengenai USB ini, USB-IF berhasrat untuk tidak lagi menggunakan versi bernombor USB pada masa hadapan. Badan penggubal piawaian berkenaan juga menggalakkan para pengeluar merujuk kepada kelajuan tertinggi port-port berkenaan seperti “USB 5Gbps”, “USB 10Gbps” dan sebagainya.