Home Komputer Apakah Beza Antara CPU, GPU dan APU

Apakah Beza Antara CPU, GPU dan APU

1260
0

Sesetengah perkakasan mempunyai terma dan singkatan-singkatan perkataan yang menerangkan fungsinya di dalam sesebuah sistem komputer. Selain dari CPU dan GPU yang biasa kita dengar, terdapat terma yang agak baru muncul di dalam industri IT iaitu APU.

Bagi anda yang tidak biasa dengan perkakasan komputer, terma seperti CPU, GPU dan APU ini agak mengelirukan. Justeru, adalah penting bagi kita memahami sedikit sebanyak maklumat asas perkakasan ini.

CPU

Kita mula dengan paling asas, iaitu CPU (Central Processing Unit, Unit Pemprosesan Pusat). Ia umpama otak bagi sistem komputer. Cip ini berperanan menjalankan tugas-tugas pemprosesan dan tanpa kehadirannya, sesebuah komputer itu tidak dapat berfungsi.

Kebanyakan komputer-komputer terkini menggunakan sejumlah teras untuk mengelolakan pelbagai tugas dalam satu-satu masa. Prestasi keseluruhannya diukur di dalam unit gigahertz (GHz). Misalnya, sesebuah CPU yang mempunyai klok asas berkelajuan 2.4GHz, ia sepatutnya mampu memproses sehingga 2.4 billion arahan dalam satu saat.

Ia bertanggungjawab memproses sistem operasi, melaksanakan arahan hinggalah memberikan kesan terhadap keupayaan sesuatu aplikasi di dalam sesebuah sistem komputer.

Prestasi permainan video amat bergantung kepada keupayaan pemprosesan data oleh CPU terutama perkiraan fizikalnya. CPU hadir dalam pelbagai bentuk, dari jenis cip berteras tunggal versi jimat tenaga 1.0 GHz hinggalah yang mempunyai lapan teras berkapasiti mencecah 4.0 GHz.

CPU juga dapat dibezakan mengikut pengeluar yang membuatnya dan nama yang kerap disebut-sebut semestinya Intel dan AMD. Sejak AMD mengeluarkan pemprosesan model Ryzen, beza antara kedua-dua pengeluar ini sudah tidak banyak seperti awal millenium dahulu.

Jenis pemprosesan bergantung kepada tujuan utama penggunaan komputer oleh pengguna itu sendiri. Jika sekadar menulis menggunakan perisian pemprosesan perkataan seperti Microsoft Word, melayari web dan membuat penstriman video, pemprosesan berharga bajet dan jimat kuasa sudah memadai.

Untuk tugasan-tugasan yang lebih berat seperti pembangunan sistem, pemprosesan pangkalan data dan sebagainya, pengguna mungkin perlu mendapatkan CPU yang lebih berkuasa.

GPU

Unit pemprosesan grafik (GPU) menjana paparan grafik dan video untuk dipaparkan pada skrin. Komputer masih lagi boleh berfungsi seperti biasa tanpa memerlukan GPU. Tambahan pula, papan induk masa kini kebanyakannya sudah mampu menyokong paparan yang setanding dengan kad grafik dengan GPU bertaraf sederhana.

Didatangkan bersama kad-kad grafik, GPU boleh dibahagikan mengikut jenis pengeluar yang utama, iaitu nVidia dan AMD (dahulu lebih dikenali sebagai ATI), terutama untuk membandingkan prestasi dan nilai harganya di pasaran.

Kategori GPU boleh dibahagikan mengikut jenis slot yang perlu disesuaikan papan induk komputer. Slot bagi papan induk yang terkini adalah dari jenis PCI-E dan bagi papan induk generasi yang terdahulu, kebanyakan papan induk menggunakan slot AGP.

Beza utama GPU dan CPU adalah, pemprosesan GPU tertumpu kepada penghasilan data untuk menghasilkan grafik kerana pemprosesan grafik yang terbaik perlu melakukan jutaan hingga berbillion perkiraan bagi setiap saat.

APU

Setelah memahami beza di antara CPU dan GPU, kita dapat fahami APU dengan lebih mudah. APU adalah singkatan bagi Accelerated Processing Unit, ia adalah sebuah cip yang mempunyai gabungan CPU dan GPU di dalamnya. Di atas kertas, ia kelihatan hebat kerana mempunyai kelebihan gabungan dua komponen berbeza di dalam satu pek yang meningkatkan kecekapan interaksinya.

APU bukanlah pilihan yang terbaik bagi pengguna yang inginkan prestasi yang tertinggi. Namun, ia sudah memadai buat pengguna biasa. Malahan, ia kini sudah mampu menyokong permainan video pada kualiti grafik sederhana.

Intel juga melakukan perkara yang serupa pada pemproses mereka seperti yang terdapat pada Intel Core-i7-8700K. Tetapi, mereka tidak memperkenalkannya di pasaran sebagai APU sebagaimana AMD. Terma APU hanya digunapakai oleh AMD di dalam industri pembuatan cip mikropemprosesan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.