Microsoft kini sedang mengusahakan kaedah lain bagi membawakan aplikasi Android ke Windows 10 selepas pembatalan Projek Astoria.

Antara kemajuan yang telah dicapai termasuklah keupayaan sokongan penstriman melalui aplikasi Your Phone untuk beberapa model telefon Samsung.

Microsoft melalui Project Latte, akan membantu pembangun mempakejkan aplikasi mudah alih mereka sebagai satu MSIX untuk membolehkan sokongan natif untuk subsistem Android.

Projek ini dibina di atas Subsistem Windows untuk Linux. Sebagai permulaan, ianya akan menyokong aplikasi yang diterbitkan oleh pembangun di Windows Store.

Idea ini jika berjaya mampu merapatkan jurang aplikasi di dalam Windows Store selain meningkatkan mutu penggunaan Store pada Windows 10 ARM dan Windows 10X.

Ura-ura mengenai projek baharu menggantikan Project Astoria sudah pun kedengaran sejak dari Oktober tahun lalu.

Berdasarkan perkembangan terkini, Microsoft dijangka akan membuat pratonton fungsi ini sekitar pertengahan tahun ini. Bagi menawarkan ketersesuaian aplikasi Android natif, Microsoft turut merancang untuk menggantikan API Google dengan API Windows mengikut kesesuaian.

Tidak seperti Project Astoria, Project Latte dan sub-sistem berasaskan Linux berkaitan akan memiliki teknologi lanjutan berserta sokongan untuk fungsi Windows 10.

Ianya akan membenarkan pengguna memuatkan aplikasi Android pada desktop masing-masing. Untuk melakukannya, pengguna perlu membuka Developer Settings dan menghidupkan ‘developer mode’, seterusnya memuatkan aplikasi yang dikehendaki.

Bagaimanapun, aplikasi seperti Gmail, Photos dan Play Store yang bergantung sepenuhnya dengan integrasi perkhidmatan Google Play tidak boleh digunakan pada Windows 10.

Ketersesuaian aplikasi Android pada Windows 10

Kebanyakan fail-fail APK dijangkakan boleh digunakan secara terus tanpa sebarang modifikasi pada sistem operasi komputer pengguna.

Bagaimanapun, sesetengah aplikasi tidak dapat digunakan dengan lancar berikutan masalah-masalah seperti resolusi skrin ketiadaan perkhidmatan Google Play dan tergendala ketika menggunakan papan kekunci.

Projek Latte buat masa ini dijangka akan dihidupkan melalui binaan pratonton sekitar tahun ini. Ianya dijangka bakal memberi perubahan besar terhadap Windows Store.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.