Pertama kali diperkenalkan secara global pada bulan lalu, Nokia 1.4 kini telah memasuki pasaran Malaysia. Telefon pintar berasaskan Android Go ini merupakan penawaran baharu Nokia Mobile ke pasaran tempatan selepas pelancaran Nokia 5.4 awal bulan ini.
Dikuasakan oleh Qualcomm 215, Nokia 1.4 menyediakan paparan HD+ 6.15-inci. Di Malaysia, telefon ini dilengkapkan dengan RAM 3GB dan storan 64GB yang boleh diperluaskan dengan kad mikroSD sehingga 128GB.
Telefon ini didatangkan bersama kamera utama 8MP dan kamera makro 2MP pada bahagian belakangnya. Manakala pada bahagian hadapannya pula disediakan sebuah kamera swafoto 5MP.
Selain itu, ia juga menyediakan bicu audio 3.5mm, sokongan radio FM, pengimbas cap jari fizikal, dan bateri 4,000mAh. Bagaimanapun, kadar pengecasan bagi telefon ini terhad pada 5W sahaja.
HMD Global turut menyatakan Nokia 1.4 mempunyai ketahanan bateri sehingga 2 hari dan oleh yang demikian tidak memerlukan anda mengecasnya dengan kerap.
Walaupun telefon ini telah dipra-pasangkan dengan Android 10 Go Edition, HMD Global menjanjikan ianya boleh dinaik taraf ke Android 11 Go Edition dengan kemaskini keselamatan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.
Pada harga RM499, Nokia 1.4 boleh didapati dari kedai dalam talian Macpie Distribution, pengedar rasmi produk Nokia Mobile di Malaysia. Anda juga boleh mendapatkannya dari kedai dalam talian rasmi Nokia Mobile di Lazada dan Shopee, serta wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.













