Penantian kini berakhir apabila AMD baru sahaja mengumumkan chipset untuk papan induk peringkat permulaan dan pertengahan yang dinamakan sebagai B450. Chipset papan induk ini, seperti mana yang diketahui merupakan kesinambungan dari model yang terdahulu, B350.
Chipset papan induk AMD B450 dibina khusus bagi menampung keperluan pemprosesan AMD Ryzen Generasi Kedua. Sebelum ini, chipset “baru” yang terdapat di pasaran yang menyokong pemprosesan Ryzen Generasi Kedua hanyalah X470 dan chipset ini bukanlah boleh dikategorikan sebagai perkakasan harga mampu milik bagi kebanyakan pengguna.
Melalui pelancaran chipset AMD B450 ini, pengguna dijangka lebih mudah untuk memperoleh papan induk pemprosesan Ryzen dari pengeluar-pengeluar seperti Asus, Gigabyte, MSI dan sebagainya pada harga mampu milik. Pun begitu, Ryzen Generasi Kedua sebenarnya masih lagi boleh digunakan pada papan induk berchipset B350.
Dari segi spesifikasi, chipset AMD B450 menyokong dua labuhan USB 3.1 Gen2 dan USB 3.1 Gen1 berserta enam labuhan USB 2.0. Ditambah lagi dengan sokongan sehingga dua labuhan SATA 3.0. Lain-lain ciri tambahan chipset terbaru AMD ini termasuklah enam slot PCIe Gen2 dan satu slot PCIe x16.
Menguatkan lagi daya tarikan chipset ini, ianya turut didatangkan bersama-sama sokongan untuk Precision Boost Overdrive dan teknologi StoreMI. Kedua-dua fungsi ini masing-masing mampu meningkatkan CPU sewaktu melakukan overclock dan untuk StoreMI pula ia boleh menggabungkan kedua-dua jenis storan HDD dan SSD ke dalam satu volume tunggal.
Setakat ini masih belum diketahui bilakah papan induk berchipset B450 bakal menemukan pengguna-pengguna di Malaysia dan dijangkakan ianya bakal hadir dalam masa yang terdekat ini.













