Tidak sampai sebulan selepas AMD membuat pengumuman di acara CES 2020 baru-baru ini, AMD Ryzen Threadripper 3990X akhirnya dilancarkan ke pasaran global termasuk pasaran Malaysia.

AMD Ryzen Threadripper 3990X merupakan cip pemprosesan desktop terbaru yang memiliki 64 teras dan 128 bebenang. Dioperasikan pada kelajuan klok asas 2.9GHz, cip pemprosesan 280W ini mampu dijanakan pada kelajuan maksimum sehingga 4.3GHz.

Melalui sokongan untuk RAM DDR4-3200 empat saluran dan PCIe 4.0, AMD sebelum ini mendakwa cip keluaran terbarunya ini mampu membawakan sehingga 51% lebih prestasi untuk penggunaan 3D Ray Tracing pada Maxon Cinema4D Renderer. Di dalam aplikasi penanda aras lain seperti Cinebench R20.06 pula, cip pemprosesan ini mencatatkan markah sebanyak 25,399 mata.

Untuk pasaran Malaysia, AMD Ryzen Threadripper 3990X bakal dijual pada harga RM 16,999. Bagi pengguna yang berminat, anda mungkin boleh bertanyakan dengan pengedar-pengedar perkakasan komputer berhampiran anda.

Tinggalkan komentar