Hampir sedekad lamanya kedudukan AMD selaku pengeluar cip pemprosesan sentiasa dibayangi oleh Intel. Namun demikian, keadaan ini mula berubah dengan kehadiran cip pemprosesan terbaru AMD Ryzen 7.
2 Mac ini merupakan tarikh AMD melancarkan ketiga-tiga model cip pemprosesan Ryzen 7 yang terbaru yang bukan sahaja mengatasi prestasi cip pemprosesan peringkat atasan Intel, malah pada harga yang lebih murah.
Model | Klok asas (GHz) | Klok Dipertingkat (GHz) | TDP (Watt) | Penyejukan | Harga Saranan |
Ryzen 7 1800X | 3.6 | 4.0 | 95 | Tiada | $499 (RM2219) |
Ryzen 7 1700X | 3.4 | 3.8 | 95 | Tiada | $399 (RM1174) |
Ryzen 7 1700 | 3.0 | 3.7 | 65 | Wraith Spire | $329 (RM1463) |
Jadi, perkara ini mungkin akan mendatangkan kebimbangan buat Intel. Sebabnya;
Bila Ryzen 7 1800X dibandingkan dengan cip pemprosesan Intel Core i7-6900K yang berharga $1089 (RM4843) melalui ujian penarafan Cinebench, Ryzen 7 1800X telah mendahului model Intel berkenaan dengan kelebihan 9 peratus. Ketua Eksekutif AMD, Dr. Lisa Su turut mendakwa 1800X adalah pemprosesan lapan teras yang paling pantas di pasaran buat masa ini.
Tidak cukup dengan itu. Model yang sedikit rendah keupayaannya, Ryzen 7 1700X turut mendahului model peringkat atasan Intel berkenaan dengan kelebihan 4 peratus. Boleh dikirakan sebagai sangat bagus kerana harga jualan model AMD ini cuma sekitar $399 (RM1174).
“Empat tahun lalu, kami mula membangunkan pemprosesan teras ‘Zen’ kami dengan matlamat untuk menawarkan prestasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, serta mengembalikan pilihan dan inovasi untuk pasaran pengkomputeran berprestasi tinggi”, ujar Dr Lisa Su. “Pada 2 Mac ini, peminat dan pemain permainan video di seluruh dunia bakal menyaksikan kehebatan ‘Zen’, melalui pelancaran keluarga pemprosesan Ryzen 7 dan memberikan nafas baru untuk pasaran pengkomputeran desktop.”
Cip pemprosesan Ryzen memerlukan sokongan cipset X370 dan B350 pada papan induk, dan dijangkakan permintaan untuk papan induk berkenaan akan meningkat tidak lama lagi.
“Kami amat menghargai sumbangan rakan-rakan kongsi dan para pelanggan kami bekerjasama untuk membina sebuah ekosistem berprestasi tinggi untuk Ryzen”, ujar Jim Anderson, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Kumpulan Perkomputeran dan Grafik AMD.
AMD pada kebiasaannya akan mengotakan segala janji yang ditawarkannya berdasarkan pelancaran pada produk-produk yang terdahulu. Jika dakwaan prestasi Ryzen 7 ini sememangnya lebih baik dari cip pemprosesan Intel peringkat atasan, Intel perlu mengambil langkah drastik untuk menyahut cabaran terbaru dari AMD ini.
Cuma, kita tidak tahu apakah tindakan Intel untuk menyahut cabaran ini. Adakah dengan menawarkan pengurangan harga untuk cip-cip pemprosesannya? Atau dengan menghasilkan cip pemprosesan yang lebih ‘power’ melalui kehadiran pemprosesan Generasi Kelapan Coffee Lake?
Sama-sama kita tunggu perkembangan menarik persaingan tradisi di antara dua gergasi cip pemprosesan ini.
Sumber berita diperoleh dari PCWorld