AMD (Advanced Micro Devices) kini mula mengasingkan pengurusan perniagaan GPU mereka dari pengurusan perniagaan CPU. Pengumuman yang dibuat Rabu lalu memaklumkan tentang Radeon Technologies Group diwujudkan bagi menstrukturkan semula bahagian kad grafik yang sebelum ini diperoleh melalui pembelian pegangan saham ATI pada 2006.
Menurut pihak AMD, tindakan ini dilakukan bagi memberikan lebih banyak autonomi kepada bahagian kad grafik dalam menghasilkan teknologi realiti tambahan (Augmented Reality) dan realiti maya (Virtual Reality) selain dari meningkatkan mutu grafik permainan video.
“Kita bakal menuju era perkomputeran imersif di mana kita semua akan diselubungi oleh berbillion piksel-piksel cantik bagi membantu meningkatkan kehidupan harian kita ke tahap baru (We are entering an age of immersive computing where we will be surrounded by billions of brilliant pixels that enhance our daily lives in ways we have yet to fully comprehend),” ujar CEO AMD Lisa Su.
Pembelian syarikat teknologi grafik ATI oleh AMD pada tahun 2006 dahulu telah banyak menghasilkan projek-projek menggabungkan GPU ke dalam CPU. Namun, kebanyakan projek-projek ini tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
AMD menjangkakan lebih banyak peluang-peluang dan teknologi-teknologi baharu yang dapat diterokai melalui pengwujudan Radeon Technologies Group setelah diasingkan dari perniagaan teras AMD.
Kad grafik terbaru yang diperkenalkan oleh AMD, Fury dan Fury X menerima ulasan yang positif dari kalangan pengguna kad grafik. Kad grafik merupakan antara perkakasan yang paling dianggap wajib bagi pengguna yang gemar bermain permainan komputer dan juga para pereka grafik.
-Sumber berita diperoleh dari Forbes













