Suhu tinggi yang dicapai pada CPU mampu merencatkan kualiti permainan pada peranti-peranti mudah alih. Atas sebab itu, sesetengah telefon pintar khusus untuk permainan menawarkan solusi penyejukan seperti penggunaan sistem pempaipan, kipas penyejukan dan juga penggunaan graphene.
Untuk iPhone, terdapat satu aksesori penyejukan aneh tetapi bijak yang diperkenalkan oleh pihak ketiga. Penyejukan ini menggunakan konsep penyejukan menggunakan air.
Aksesori ini mengepam air untuk menyejukkan iPhone pengguna. Ianya hadir dengan satu bekas air 500ml, sebuah pam, dan dua paip untuk memasukkan dan mengeluarkan air dari kerangka khasnya. Pada harga RM41, aksesori ini didakwa sesuai digunakan pada model iPhone 6,7,8 Plus (5.5″), iPhone X/XS (5.8″) dan iPhone XR (6.1″).
Menurut penjual aksesori ini, penggunaannya mampu menurunkan suhu dari 48.5 darjah Celcius hingga 26.5 darjah Celcius. Penjual aksesori ini juga turut menyarankan penggunaan ais bagi meningkatkan lagi kualiti penyejukan. Aksesori ini bagaimanapun memerlukan penggunaan bekalan kuasa DC, justeru menyukarkan penggunaan secara mudah alih.
Sejauh mana keberkesanannya agak sukar dibuktikan memandangkan ianya tidak didatangkan dengan sebarang waranti.
Bagi anda yang ingin mengetahui tentang aksesori ini dengan lebih lanjut, ia kini ditawarkan di gedung atas talian Lazada.