Utama Mobile Aplikasi Tetamu Airbnb dakwa Tuan Rumah guna Imej Janaan AI untuk buat Tuntutan...

Tetamu Airbnb dakwa Tuan Rumah guna Imej Janaan AI untuk buat Tuntutan Kerosakan Palsu

128
0

Ketika imej janaan AI diuar-uarkan sebagai manfaat kepada orang ramai, kita kini sedang mula melihat kesan buruknya saban hari. Di dalam kes baharu yang seperti cubaan menipu, tuan rumah Airbnb didakwa menggunakan imej janaan AI untuk membuat tuntutan kerosakan palsu.

Menurut akhbar The Guardian, ceritanya bermula apabila seorang wanita dari London telah menempah apartmen satu bilik di Manhattan, New York. Tempahan tersebut untuk tempoh selama dua setengah bulan, namun beliau berhasrat untuk keluar awal kerana merasakan kawasan tersebut tidak selamat. Tidak lama selepas beliau keluar, tuan rumah melaporkan kepada Airbnb bahawa tetamu berkenaan telah menyebabkan kerosakan berjumlah lebih dari GBP12,000 (~RM67,355).

Kerosakan tersebut didakwa melibatkan keretakan meja kopi melalui bukti bergambar yang disediakan kepada pihak Airbnb oleh tuan rumah terbabit. Tetamu berkenaan juga didakwa mengotorkan cadar dengan kencing serta merosakkan robot pembersih vakum, sofa, ketuhar gelombang mikro, TV dan penyaman udara.

Airbnb pada awalnya menyebelahi tuan rumah, mendakwa keputusan diambil “selepas meneliti foto-foto yang disediakan.” Kesannya, tetamu telah diminta untuk membayar kepada tuan rumah sebanyak GBP5,314 (~RM29,816).

Namun, dua imej yang menunjukkan meja kopi yang retak kelihatan berbeza kerosakannya. Ini membawa kepada rasa curiga tetamu yang imej tersebut telah diubahsuai atau janaan AI.

Selepas perbincangan pihak Airbnb telah mengkreditkan ke akaun tetamu sebanyak GBP500 (~RM2,805). Tetamu itu juga telah mendapatkan semula bayaran balik penginapan sebanyak (GBP4,269, ~RM23,952).

Tuan rumah yang disenaraikan sebagai “superhost” itu juga disyaki membuat tuntutan palsu kerana tidak berpuas hati dengan penamatan awal yang telah dibuat, menurut tetamu tersebut.

Airbnb hanya memberikan amaran kepada tuan rumah kerana melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Walaupun pengakhirannya baik, kisah ini patut dijadikan iktibar bagaimana AI boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.