KUALA LUMPUR, 8 APRIL 2026 – Sebuah firma kejuruteraan yang berpusat di Klang, Cheng Hua Engineering Works Sdn Bhd, berjaya mengurangkan hampir 50 peratus kos bil elektrik bulanannya selepas memasang sistem solar bumbung berkapasiti 403 kilowatt puncak (kWp) di fasilitinya.
Inisiatif yang dikendalikan oleh penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, EFS Group, ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menangani kenaikan tarif elektrik dan jangkaan pelaksanaan cukai karbon negara yang menyasarkan sektor industri berat.
Pemasangan sistem solar bumbung yang dibiayai sepenuhnya oleh Cheng Hua Engineering ini dilaksanakan di bawah skim Penggunaan Sendiri (SelCo). Sistem tersebut dijangka mampu menjana sekitar 362,280 kilowatt-jam (kWj) tenaga bersih secara tahunan sekali gus mengimbangi kira-kira 30 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik fasiliti berkenaan.
Syarikat ini bukanlah asing dengan teknologi hijau kerana telah mula mengguna pakai tenaga solar sejak tahun 2014 menerusi program Tarif Galakan (FiT), menjadikan peluasan terbaharu ini sebagai bukti kematangan solar sebagai aset pelaburan jangka panjang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EFS Group, Encik Darren Tan, tindakan pantas syarikat bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga mengukuhkan kedudukan kewangan mereka dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini. Beliau menjelaskan bahawa dengan pelaksanaan tarif RP4 yang menaikkan kadar caj tenaga untuk pengguna industri, tekanan untuk mengawal kos kini berada pada tahap tertinggi.
“Syarikat yang mengambil tindakan serius bukan sahaja mengurangkan emisi malah mengukuhkan kedudukan kewangan mereka,” kata beliau.
Bagi syarikat berorientasikan eksport, langkah penyahkarbonan juga merupakan satu keperluan komersial dalam menghadapi tekanan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) oleh Kesatuan Eropah (EU).
Ketua Pegawai Eksekutif Cheng Hua Engineering Works Sdn. Bhd, Encik Lim Chee Keong, turut menzahirkan keyakinan terhadap prestasi teknologi solar yang mampu memberi nilai tambah kepada daya saing syarikat.
“Solar telah membuktikan kebolehpercayaannya sejak sedekad lalu. Peluasan ini membolehkan kami mengawal penggunaan tenaga dengan lebih baik sambil menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” jelas beliau.
Pelaburan strategik ini merupakan satu keperluan mendesak memandangkan struktur tarif elektrik Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) telah memberikan kesan terhadap pengguna industri voltan rendah mulai Julai 2025.
Melalui langkah ini, pengilang bukan sahaja berjaya menyerap kejutan kenaikan kos operasi, malah turut membantu Malaysia mencapai sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mensasarkan 31 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.









