Utama Perbankan AEON Bank terima kelulusan mula Operasi sebagai Bank Digital Patuh Syariah Pertama...

AEON Bank terima kelulusan mula Operasi sebagai Bank Digital Patuh Syariah Pertama di Malaysia

145
0

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2024 – AEON Bank (M) Berhad (dahulunya dikenali sebagai ACS Digital Berhad) (“AEON Bank” atau “Bank”) dengan bangganya mengumumkan kelulusan yang diterima daripada Bank Negara Malaysia (“BNM”) dan Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi perbankan digital di Malaysia. Ini menempatkan AEON Bank sebagai bank digital patuh syariah pertama di Malaysia. Kelulusan ini diberikan berdasarkan pengesahan BNM terhadap kesediaan operasi Bank. AEON Bank merupakan syarikat bersekutu AEON Credit Service (M) Berhad (“AEON Credit”) dan anak syarikat AEON Financial Service Co., Ltd. (“AFS Jepun”).

“Misi utama kami membina bank digital ini adalah untuk memajukan promosi inklusi kewangan dan perbankan Islam. Sebagai salah satu jenama runcit isi rumah yang terkenal di Malaysia, kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital yang mudah diakses, inklusif dan patuh syariah terutamanya kepada pelanggan setia AEON kami serta seluruh rakyat Malaysia. Kami bertekad untuk memperkasa komuniti kami dengan akses kepada perkhidmatan kewangan digital yang mudah, selamat dan terjamin,” kata Raja Teh Maimunah, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank.

“Detik bersejarah ini merupakan sebuah langkah yang besar dalam memberi nafas baru kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh Kumpulan AEON serta mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menyokong inklusiviti kewangan,” tambah Daisuke Maeda, Pengarah Urusan AEON Credit, salah satu institusi kewangan bukan bank di Malaysia.

Legasi 40 Tahun Kepercayaan dan Sokongan Pelanggan

AEON adalah nama isi rumah yang sangat dikenali yang telah bersama dengan rakyat Malaysia di seluruh negara selama lebih empat dekad. Dengan adanya Bank ini, Kumpulan AEON berharap untuk memperluas dan meningkatkan mutu perkhidmatan AEON dengan lebih menyeluruh merangkumi pelanggan runcit dan borongnya serta rakan ekosistem seperti pengedar auto, pembekal, penyewa, dan lain-lain. Selain itu, komitmen AEON Bank terhadap teknologi digital akan memudahkan pengenalan produk dan inovasi baru bagi Kumpulan AEON, justeru meningkatkan nilai tawaran keseluruhan kepada pelanggan dan rakan ekosistem.

“Sempena sambutan ke 40 tahun Kumpulan AEON Malaysia, kami melihat AEON Bank sebagai medium yang dapat memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelanggan setia dan rakan perniagaan kami yang telah menjadi tunjak kejayaan kami,” tegas Daisuke Maeda.

Inklusi Kewangan

AEON Credit adalah salah satu institusi kewangan bukan bank yang telah mempromosikan inklusi kewangan dengan menyediakan akses pembiayaan kepada individu yang secara tradisional tidak dapat mengakses pembiayaan kewangan. AEON Bank bertujuan untuk memperluas komitmen tersebut dengan mengembangkan perkhidmatan kewangan kepada individu dan peniaga kecil yang tidak mempunyai akses kepada pembiayaan dan perkhidmatan kewangan lain.

Selain itu, AEON Bank juga akan memberi keutamaan kepada inisiatif literasi dan pendidikan kewangan untuk memberdayakan individu dan peniaga kecil dengan pengetahuan dan alat untuk membuat keputusan kewangan yang tepat.

Rancangan Pelancaran

AEON Bank merancang pelancaran berfasa untuk aplikasi barunya, bermula dengan fasa ujian beta eksklusif bersama kumpulan pekerja AEON. “Kami sedar akan kepentingan mengumpul pandangan dan maklum balas dari pengguna dalam mempersiapkan pelancaran aplikasi kami. Penawaran akses awal kepada sekumpulan pengguna beta terpilih bertujuan untuk memperhalus aplikasi AEON Bank dengan kerjasama pengguna beta agar dapat memenuhi harapan pengguna kami yang lebih luas pada pelancaran penuh,” terang Raja Teh Maimunah.

AEON Bank mensasarkan pelancaran berfasanya pada separuh pertama tahun ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.