KUALA LUMPUR, 28 Februari 2025 – AEON Bank, bank digital Islamik pertama di Malaysia, telah dinobatkan sebagai pemenang untuk dua anugerah berprestij di Islamic Finance News (IFN) Awards baru-baru ini. Bank tersebut memenangi anugerah ‘Best Islamic Digital Bank (Global)’ dan ‘Best Islamic Digital Offering by a Bank (Malaysia)’ sebagai sebahagian daripada IFN Best Bank Poll.
Anugerah IFN diiktiraf di seluruh industri sebagai piawaian utama dalam industri kewangan Islam. Para pemenang ditentukan melalui proses pengundian ketat yang dijalankan di peringkat global oleh IFN, merentasi negara-negara di Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Asia, termasuk Malaysia. Tahun ini, lebih 17,500 undian telah diterima bagi 13 kategori Global dan 4 kategori Domestik, yang meliputi Best Banks Awards (Anugerah Bank Terbaik), Non-Banking Financial Institutions Awards (Anugerah Institusi Kewangan Bukan Perbankan), Law Awards (Anugerah Undang-Undang), Service Providers Awards (Anugerah Penyedia Perkhidmatan) dan Deals of the Year Awards (Anugerah Urus Niaga Terbaik). Secara keseluruhan, sebanyak 101 pemenang telah diraikan dalam dua majlis anugerah yang berlangsung di Dubai pada 17 Februari dan Kuala Lumpur pada 20 Februari 2025.
Anugerah tahun ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan pelbagai calon, dengan nominasi dari Timur Tengah mendominasi senarai. Sementara itu, pemain industri dari rantau ASEAN turut menampilkan pencapaian luar biasa. IFN Best Banks Poll edisi ke-20 ini juga mencatat rekod nominasi terbesar dalam sejarahnya dari segi jumlah kategori yang dipertandingkan.
Majlis anugerah di Kuala Lumpur telah dihadiri para pemimpin industri, tokoh terkemuka, serta pakar kewangan Islam. Ucaptama telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, yang menegaskan bahawa kewangan Islam bukan sekadar sebuah industri, tetapi satu sistem kewangan yang berteraskan nilai murni beretika. Beliau menekankan bahawa Maqasid al-Shariah menjadi tunjang kepada sistem tersebut, berpaksikan prinsip keadilan, kemampanan dan keterangkuman. Beliau turut menambah, masyarakat hari ini bukan sekadar mencari sistem kewangan alternatif, sebaliknya mereka menginginkan penyelesaian kewangan yang lebih baik. Menurut beliau lagi, potensi industri ini amat besar, memandangkan pasaran modal Islam Malaysia bernilai AS$583.11 bilion (RM2.6 trilion) setakat November 2024, manakala aset kewangan Islam global kini menghampiri AS$5 trilion dan dijangka meningkat kepada AS$7.5 trilion menjelang 20281, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.9%2.
Sebagai penutup ucapan, beliau merangsang pemikiran para hadirin dengan mengajukan tiga soalan penting: “Adakah kita benar-benar memenuhi prinsip Maqasid al-Shariah jika kita mengabaikan isu penuaan penduduk, jurang pencen dan keterjaminan persaraan?” “Bagaimana kita boleh memanfaatkan kewangan Islam untuk mengurangkan risiko perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem?” serta “Secepat manakah kita boleh memacu penerapan teknologi dan AI (kecerdasan buatan) oleh pengantara kewangan Islam demi meningkatkan kecekapan dan akses?” Selain itu, beliau juga mengemukakan satu lagi persoalan kritikal — adakah kita benar komited dalam mengorak kewangan Islam untuk memainkan peranan utama dalam menangani cabaran dunia yang paling mendesak.
AEON Bank melakar sejarah pada Mei 2024 dengan pelancarannya sebagai bank digital Islamik pertama di Malaysia. Kini, AEON Bank menawarkan produk dan perkhidmatan digital Perbankan Peribadi, termasuk Akaun Simpanan-i, Kad Debit Visa AEON Bank-i, ‘Savings Pots’ dengan ciri-ciri simpanan optimum, perkhidmatan pembayaran digital bersama rakan strategik seperti DuitNow oleh PayNet, pembayaran bil utiliti, serta analisis perbelanjaan berasaskan AI. Selain itu, AEON Bank turut memperkenalkan Neko Missions, program ganjaran interaktif pertama di Malaysia, serta program kesetiaan Mata Ganjaran AEON yang diintegrasikan dalam ekosistem runcit AEON.
Dalam masa terdekat, AEON Bank juga akan memperkenalkan lebih banyak produk Perbankan Peribadi (Personal Banking) dan perkhidmatan Perbankan Perniagaan (Business Banking) bagi memberi perkhidmatan kepada usahawan tempatan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia, bagi membolehkan mereka berkembang maju dalam landskap perniagaan omnichannel yang semakin kompetitif.
Dengan memanfaatkan ketangkasan ‘cloud native’ serta DNA kewangan patuh Syariah, AEON Bank turut mengutamakan perlindungan data pelanggan dan keselamatan perbankan mudah alih melalui teknologi perlindungan Mobile Security Platform (MSP). AEON Bank akan terus menghasilkan produk baharu demi memberi perkhidmatan kepada demografik yang lebih luas, sambil memfokuskan kepada pengalaman digital yang mesra pengguna serta interaksi pelanggan dalam talian (online customers touchpoints).
Sebagai sebahagian daripada Kumpulan AEON yang telah berada di Malaysia selama lebih 40 tahun, AEON Bank komited untuk membina masa depan kewangan yang lebih inklusif, membantu rakyat mencapai kebebasan ekonomi, dan menyumbang kepada industri perbankan Islam yang berasaskan teknologi kewangan (fintech) di rantau ini, serta mengembangkan ekonomi digital negara.
Untuk maklumat lanjut tentang bank digital Islam pertama Malaysia ini, layari laman web rasmi AEON Bank atau imbas Kod QR di bawah untuk memuat turun aplikasi AEON Bank.