Telefon pintar dari siri Xiaomi Redmi adalah antara model yang popular di Malaysia atas faktor spesifikasinya yang tinggi, tetapi dijual pada harga bajet. Walaupun begitu, telefon pintar ini tidak dapat lari dari beberapa masalah yang biasa dihadapi oleh model-model telefon pintar keluaran jenama lain.
Salah satu masalah yang sering pengguna Xiaomi mengadu adalah masalah cepat panas. Berikut adalah antara sebab-sebab kenapa telefon pintar Xiaomi menjadi cepat panas:
Isi Kandungan
Keadaan Isyarat Rangkaian yang Lemah
Faktor isyarat rangkaian telekomunikasi yang lemah dan tidak stabil menjadi antara penyebab utama mengapa telefon pintar Xiaomi menjadi cepat panas. Ini kerap terjadi jika pengguna berada di dalam kawasan liputan rangkaian yang lemah terutamanya di kawasan luar bandar.
Untuk mengatasinya, pengguna mungkin boleh menutup sementara waktu ‘toggle’ sambungan data 4G/3G pada telefon pintar Xiaomi sehingga pengguna berada di dalam kawasan yang mempunyai isyarat yang lebih baik. Atau, jika pengguna sememangnya menetap di kawasan yang mempunyai isyarat rangkaian yang lemah, mungkin sudah tiba masanya pengguna untuk menukar ke syarikat telco lain yang lebih baik.
Cara Penggunaan Telefon Pintar secara berlebih-lebihan
Segala perkara di dalam dunia ini sememangnya tidak dianjurkan untuk dilakukan secara berlebih-lebihan. Begitu juga dengan cara penggunaan telefon pintar Xiaomi Redmi masing-masing.
Melalui keupayaan sesetengah telefon pintar yang mampu memainkan permainan berkualiti grafik HD, sesetengah pengguna mungkin leka sehingga penggunaannya melebihi batas dan menyebabkan peranti kepanasan. Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan supaya menjadi pengguna yang bijak dalam menguruskan waktu penggunaan peranti.
Ikon dan Widget terlalu penuh pada Skrin “Home”
Widget dan ikon yang terlalu penuh pada skrin “home” boleh menyebabkan penggunaan RAM menjadi terlalu tinggi. Sungguhpun telefon pintar Xiaomi Redmi kebanyakannya mampu menyokong keadaan ini disebabkan kapasiti RAM yang besar, namun ianya memberi kesan terhadap tahap penggunaan bateri telefon pintar dan seterusnya menjadi punca kepada telefon pintar menjadi cepat panas.
Terlalu Banyak Aplikasi berjalan pada latar belakang (background)
Sama seperti cara sebuah komputer beroperasi, telefon pintar dengan sistem operasi Android seperti Xiaomi Redmi turut mempunyai aplikasi-aplikasi yang perlu dijalankan di latar belakang bagi melicinkan operasinya. Namun, lama-kelamaan apabila tempoh penggunaan semakin meningkat serta bilangan aplikasi yang kian ditambah, bilangan aplikasi yang dijalankan pada latar belakang juga semakin bertambah.
Kesannya, telefon pintar dipaksa untuk berkerja lebih keras hingga menyebabkan kepanasan.
Langkah untuk menanganinya adalah dengan mematikan aplikasi-aplikasi pada latar belakang yang tidak diperlukan. Caranya adalah dengan pergi ke Settings > Installed Apps > Running. Dari situ, pengguna boleh memilih aplikasi mana yang perlu dimatikan atau jika tidak penting, pengguna boleh menyahpasang aplikasi tersebut. Selain itu, pengguna boleh menggunakan aplikasi Cleaner bagi mematikan aplikasi-aplikasi tertentu yang berjalan di latar belakang.
Menggunakan Telefon Pintar sewaktu Ianya sedang dicaskan
Sesetengah pengguna mempunyai tabiat menggunakan telefon pintar sewaktu ianya sedang dicaskan. Ianya sangat tidak digalakkan kerana ianya boleh meningkatkan lagi suhu telefon pintar pengguna selain berisiko untuk terkena renjatan elektrik.
Tambahan pula, kebanyakan telefon pintar hari ini termasuk Xiaomi Redmi menggunakan bateri dari jenis Lithium-ion atau Lithium Polimer yang kedua-duanya tidak sesuai digunakan dalam keadaan lampau panas.
Justeru itu, elakkan dari menggunakan telefon pintar sewaktu ianya sedang dicaskan bagi mengelakkan kepanasan selain menjadikan hayat bateri menjadi lebih panjang.
Mematikan fungsi-fungsi yang tidak digunakan
Sebahagian fungsi-fungsi seperti GPS, Wi-Fi, Bluetooth dan Hotspot tidak digunakan begitu kerap oleh pengguna. Menghidupkannya tanpa arah tujuan boleh menyebabkan bateri telefon pintar Xiaomi Redmi anda menjadi cepat haus dan cepat panas.
Justeru, anda boleh mematikan fungsi-fungsi ini bagi menjimatkan bateri selain dari mengurangkan risiko kepanasan. Anda juga boleh menghidupkan fungsi “Bateri Saver” yang disediakan untuk mencapai tujuan yang sama.
Paparan skrin yang terlalu Cerah
Skrin yang terlalu cerah turut menyumbang kepada kepanasan telefon pintar Xiaomi Redmi anda selain dari menyilaukan pandangan mata anda sewaktu menggunakannya dalam keadaan gelap.
Oleh yang demikian, langkah yang paling cerdik yang anda boleh lakukan adalah dengan merendahkan tahap kecerahan paparan skrin anda pada tahap yang bersesuaian.
Versi MIUI yang belum dikemaskini
Sebagaimana telefon-telefon pintar keluaran jenama lain, Xiaomi Redmi juga memerlukan kemaskini sistem operasinya yang terbaru dari semasa ke semasa. Sesetengah pepijat atau ralat pada sesetengah release boleh menjejaskan mutu operasi sesetengah model telefon pintat Xiaomi.
Kemaskini terbaru ini sesetengahnya disediakan atas tujuan menangani kemaslahatan ini dengan menawarkan fungsi operasi yang lebih lancar.
Kesimpulan
Panduan-panduan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu pengguna inginkan telefon pintar Xiaomi Redmi masing-masing berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Penjagaan telefon pintar yang baik mampu memanjangkan tempoh hayat penggunaan sesebuah peranti selain dapat menjimatkan perbelanjaan dan melestarikan alam sekitar dengan mengurangkan pembuangan peralatan elektronik yang sudah tidak mahu digunakan lagi.