Sambungan rangkaian melalui wifi sudah menjadi pilihan utama kebanyakan pengguna di rumah memandangkan ianya lebih mudah dipasang berbanding sambungan rangkaian menggunakan kabel. Ia juga membolehkan lebih banyak peranti bersambungan di dalam rangkaian tanpa perlu menggunakan ruang yang lebih besar serta ianya tidak berserabut seperti penggunaan kabel rangkaian.
Walaupun ia mudah untuk dipasang, ianya masih lagi tidak dapat menandingi kestabilan dan kelajuan yang ditawarkan melalui sambungan secara kabel fizikal. Masalah seperti isyarat yang lemah, talian yang lembab dan sebagainya boleh diatasi melalui langkah-langkah berikut;
Isi Kandungan
Tukar saluran router
Saluran ini bukan saluran Astro korang ye. Ini saluran kat router korang. Kebanyakan router akan memilih salurannya sendiri secara default sebaik sahaja anda membuat tetapan pada pemasangan pertama kali. Sesetengah router memilih saluran yang kurang kesesakan secara automatik.
Namun, terdapat sesetengah keadaan di mana router memilih saluran yang sesak dan ini memberi kesan terhadap kekuatan isyarat wifi yang dipancarkan oleh router. Terdapat beberapa perisian yang bagus untuk meninjau saluran-saluran yang boleh digunakan oleh router anda seperti inSSIDer.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan pemilihan saluran router wifi ini, anda boleh merujuknya di sini.
Kemaskini firmware router
Mengemaskini firmware router kadangkala boleh terlepas pandang oleh sesetengah pengguna biasa. Notifikasi pemberitahuan untuk mengemaskini ini tidak terdapat pada model-model router yang lama. Hanya sesetengah model baharu sahaja yang menawarkan notis pemberitahuan ini.
Pun begitu, pengguna boleh memuat turunnya sendiri melalui laman web rasmi pengeluar router mengikut jenama masing-masing. Selepas selesai memuat turun, pengguna boleh memasangnya sendiri melalui antara muka ke router berkenaan.
Kemaskini firmware adapter
Sama juga halnya dengan router. Adapter rangkaian pada komputer anda pun perlu dikemaskini firmwarenya. Hal sambungan rangkaian ini sama juga dengan hal perhubungan manusia. Kedua-duanya perlu berbaik-baik dan tidak boleh hanya bergantung harap pada kebaikan sebelah pihak semata-mata.
Kebanyakan laptop hari ini sudah mempunyai adapternya sendiri yang sudah terbina dalam papan induknya. Anda boleh memeriksanya melalui Control Panel (untuk pengguna Windows) dan carikan nama adapter wifi yang digunakan oleh laptop anda itu melalui Network Settings.
Tukarkan lokasi router ke tempat yang lebih strategik
Cuba jauhkan kedudukan router anda dari tempat yang tersorok seperti terperosok dan bersawang bersama-sama modem anda di bawah meja. Selain dari isyarat yang terjejas kerana lokasi yang kurang sesuai berserta kepanasan akibat habuk-habuk yang terkumpul, lokasi yang tidak sesuai juga boleh merosakkan router anda pada jangka masa panjang.
Kalau boleh, tempatkannya di lokasi strategik seperti di tengah rumah anda misalnya. Hal ini kerana, kebanyakan dari kita gemar memasang router hampir dengan port telefon kerana malas nak cari kabel panjang-panjang untuk meletakkannya di lokasi yang strategik.
Guna DD-WRT
Bagi anda yang berani mencuba, mungkin boleh memasang DD-WRT, sebuah perisian sumber terbuka untuk router. Perisian ini dikenali sebagai perisian yang mampu meningkatkan prestasi router dan menawarkan ciri-ciri ekstra yang melebihi apa yang ditawarkan oleh sesetengah pengeluar router.
Cuma, apa yang boleh saya ingatkan adalah pemasangan DD-WRT pada router boleh menghapuskan tempoh jaminan yang ditawarkan oleh pengeluar terhadap router berkenaan. Oleh itu, anda mungkin perlu mempertimbangkan pro dan kontra penggunaan perisian ini pada router yang masih lagi dalam tempoh jaminan.
Lagipun, penggunaan perisian ini tidak menjamin tiada kesan sampingan negatif terhadap prestasi keseluruhan router anda.
Tapi, tak salah rasanya kalau korang nak cuba. Itupun, pastikan korang ada router spare sebelum nak buat. Mana lah tau, kot tetibe je router korang jahanam lepas tweak tu.
Artikel ini pernah disiarkan pada 20 Jun 2016
tringin nak cuba..tapi cam rumit jer..hehe
kena try ni..wifi kat rumah lambat sangat..ada cara yang first time baru tahu.