Bulan lepas, YouTube dilaporkan sedang menguji fungsi memaparkan iklan dalam jumlah yang banyak sehingga ada yang mencapai lebih dari 10 iklan. Kini platform penstriman video ini sedang menguji satu lagi fungsi baharu, mengehadkan video beresolusi 4K kepada pelanggan Premium sahaja.
Sepanjang beberapa bulan yang lalu, sebilangan pengguna mendapati pilihan untuk menstrim kandungan video 4K telah dihadkan untuk langganan Premium. Terdapat sekurang-kurangnya dua hantaran di Reddit yang menunjukkan dua video berbeza yang menawarkan pilihan terhad tersebut.
Buat masa ini, video 4K masih lagi boleh ditonton secara percuma dalam semua peranti baik pengguna yang melog masuk akaun Google atau tidak. Ini mungkin seperti ujian iklan yang dijalankan sebelum ini yang mana tidak semua pengguna terlibat di dalam ujian fungsi baharu berkenaan.
Ciri ini jika baharu diperkenalkan dahulu sebagai salah satu kelebihan melanggan YouTube Premium mungkin tidak menjadi masalah. Cuma apabila ia pernah disediakan secara percuma untuk semua pengguna tetapi kemudiannya dihadkan untuk pelanggan Premium sahaja, ia akan memberikan rasa sedikit kurang senang kepada pengguna.
YouTube Premium buat masa ini menawarkan tontonan bebas iklan, main semula muzik dan video pada latar, dan akses ke seluruh perkhidmatan penstriman muzik pada harga RM17.90 sebulan.