Xiaomi selaku salah satu pengeluar yang memacu teknologi pengecasan pantas ke satu tahap yang lebih tinggi. Pengeluar ini juga sedang memegang rekod teknologi pengecasan pantas nirwayar terpantas dan salah satu pengeluar yang menawarkan peranti yang menyokong pengecasan pantas berwayar 120W.

Kini, Xiaomi dilaporkan akan memecahkan lagi rekod baharu pengecasan pantas melalui teknologi HyperCharge yang akan diumumkan pada hari ini.

Gergasi teknologi dari China ini juga telah berkongsikan mengenainya di seluruh platform media sosial rasminya. Setakat ini tidak dinyatakan sama ada teknologi pengecasan pantas yang baharu ini adalah berwayar atau nirwayar.

Awal tahun ini, terdapat laporan yang menyatakan Xiaomi mempunyai telefon yang menyokong pengecasan pantas 200W yang akan dilancarkan sekitar pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, sumber berkenaan menjelaskan 200W tersebut adalah jumlah keseluruhan mod pengecasan yang disokong oleh peranti berkenaan – berwayar + nirwayar + pengecasan nirwayar berbalik.

Telefon pintar mercu paling premium Xiaomi setakat ini, Mi 11 Ultra menyokong pengecasan berwayar 67W, nirwayar 67W dan pengecasan nirwayar berbalik 10W, menjadikan jumlah keseluruhannya 144W.

Tinggalkan komentar