Tidak berapa lama selepas Xiaomi mengacah kehadiran siri Xiaomi 14 yang dilengkapkan dengan lensa Leica Summilux, tarikh pelancarannya kini diumumkan akan berlangsung pada 23 Oktober 2023, jam 7 malam waktu China.
Melalui akaun rasmi Xiaomi di Weibo, dijangkakan pelbagai ciri baharu yang dinaik taraf dari siri Xiaomi 13 akan diperkenalkan pada Xiaomi 14.
Turut mungkin diketengahkan antaramuka baharu HyperOS bersama-sama ekosistem baharu yang turut mengintegrasikan penggunaan dengan kereta.
Berbalik kepada telefon pintar baharu yang akan dilancarkan tersebut, Xiaomi menyatakan Leica Summilux merupakan lensa terbaik di dunia untuk industri peranti mudah alih.
Cipset Snapdragon 8 Gen 3 baharu juga dijangka akan membuat kemunculan seperti kebiasaan Xiaomi yang memperkenalkan telefon pintar andalan baharu dengan pemprosesan Snapdragon paling terkini.
Selain memperkenalkan telefon pintar baharu, Xiaomi juga dijangka akan memperkenalkan jam tangan pintar baharu di dalam acara pelancaran tersebut.