Xiaomi pada hari ini secara rasminya telah melancarkan siri telefon pintar mercu baharunya di Malaysia, siri Xiaomi 13. Ia hadir tidak lama selepas pelancarannya ke pasaran global malam tadi.
Spesifikasi dan pilihan konfigurasinya sama seperti yang dilancarkan varian global berkenaan, kecuali pada model Lite yang tidak diperkenalkan ke Malaysia. Selain itu, model Ultra juga tidak dinyatakan sama ada dilancarkan di sini atau tidak.
Siri Xiaomi 13 masih lagi mengekalkan ciri rekaan uniknya terutama pada bahagian belakang yang menampilkan reka bentuk estetik yang kemas dan minimalis. Model standard mempunyai skrin rata berbingkai dengan model Pro pula lebih membulat yang melengkapkan ciri rekaan skrin melengkungnya.
Isi Kandungan
Xiaomi 13
Kedua-dua model ini menggunakan cipset mercu yang sama iaitu Snapdragon 8 Gen 2 dengan RAM 12GB dan storan 256GB sehingga 512GB untuk Pro. Ia juga hadir dengan pembesar suara stereo dengan penalaan Dolby Atmos, kerintangan air dan debu IP68, MIUI 14 berasaskan Android 13, pengecasan nirwayar 50W dan berbalik 10W. Untuk ketersambungan pula ia menyokong Wi-Fi, Bluetooth 5.3 dan NFC.
Oleh kerana model standard bersaiz lebih kecil berbanding Pro, ia menawarkan skrin AMOLED 6.36-inci, beresolusi 1080p, kadar penyegaran semula 120Hz, HDR10+ dan sokongan Dolby Vision. Skrinnya yang dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5 untuk menyediakan sokongan pengimbas cap jari terbina dalam. Baterinya pula berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W melalui USB-C.
Fotografi untuk telefon pintar ini hadir menerusi tetapan tri-kamera yang diletakkan dalam ruangan segi empat pada bahagian belakangnya. Kamera-kamera ini terdiri daripada satu kamera 50MP OIS, satu kamera telefoto 10MP dengan zum optikal sehingga 3.2x dan satu kamera 12MP ultra-lebar. Pada sebelah hadapan pula disediakan sebuah kamera 32MP.
Xiaomi 13 Pro
Seterusnya untuk Xiaomi 13 Pro pula, ia menampilkan skrin AMOLED LTPO melengkung 6.73-inci dengan resolusi 1440 x 3200 piksel. Skrin ini juga mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz, output warna 1 billion, sokongan HDR+ dan Dolby Vision, pengimbas cap jari bawah skrin dan perlinduingan Corning Gorilla Glass Victus.
Sama seperti model standard, model Pro ini juga menawarkan RAM 12GB, namun untuk storannya pula ia mempunyai pilihan 256GB dan 512GB. Baterinya juga besar sedikit kapasitinya pada 4,820mAh yang turut menawarkan pengecasan pantas 120W melalui USB-C.
Paling menonjol pada bahagian tri-kamera di belakangnya, kamera 1-inci Sony IMX989 50MP dengan autofokus berlaser dan OIS. Ia digandingkan bersama-sama dua sensor 50MP untuk kamera telefoto zum optikal 3.2z dan juga untuk kamera ultra-lebarnya. Ketiga-tiga kamera tersebut menggunakan lensa yang dibangunkan oleh Leica. Tidak ketinggalan, pada bahagian hadapannya disediakan satu kamera 32MP.
Harga Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro di Malaysia
Siri Xiaomi 13 akan mula dijual di Malaysia pada bulan depan, 8 Mac 2023 dengan pra-tempahannya mula dibuka dari sekarang 27 Februari 2023 sehingga 7 Mac 2023. Model standard berharga RM3,499, dengan model Pro berkonfigurasi 12GB + 256GB berharga RM4,599 dan Pro konfigurasi 12GB + 512GB pula berharga RM5,999.
Pilihan warna pula untuk model standard ditawarkan dengan Black, White dan Floral Green, manakala model Pro pula hadir dengan pilihan Ceramic White atau Ceramic Black.