Utama Teknologi Wilo, Pengeluar Pam dan Sistem Air buka Kilang baharu di Malaysia

Wilo, Pengeluar Pam dan Sistem Air buka Kilang baharu di Malaysia

908
0
Wilo Malaysia

Kuala Lumpur, 13 Oktober 2022:  Wilo, peneraju pengeluar pam antarabangsa terkemuka, secara rasmi membuka kilang pemasangan baharu di Malaysia untuk membekalkan pam air dan sistem pam bagi pasaran tempatan, Asia Tenggara serta Australia dan New Zealand.

Pengarah Urusan Wilo Malaysia merangkap Pengarah Kumpulan Wilo Asia Tenggara, Vignesh Nathan berkata kilang seluas kira-kira 680 meter persegi itu dibina di Balakong, Seri Kembangan kira-kira 18 bulan lalu.  

“Ia memasang set pam, sistem air dengan pelbagai penyelesaian perkhidmatan yang menyokong dan menggerakkan air secara pintar dan cekap mencakupi empat segmen pasaran iaitu perkhidmatan bangunan (kediaman dan komersial), pengurusan air, perindustrian (sama ada di peringkat negeri atau persekutuan) atau komersial.

Pam berteknologi tinggi

“Pejabat Wilo di Malaysia ditubuhkan lebih awal iaitu pada 2011 bagi menyediakan perniagaan dan khidmat pelanggan serta latihan kepada rangkaian pengedarnya.  Hari ini, Wilo muncul sebagai pengeluar pam berteknologi tinggi yang memanfaatkan penyelesaian digital dan pintar, menghubungkan manusia, produk dan perkhidmatan untuk menangani permintaan pasaran dan sosial baru dalam persekitaran global yang tidak menentu dan kompleks,” kata Nathan.

Sebagai sebuah syarikat multinasional Jerman yang mempunyai sejarah 150 tahun dan semakin berkembang, perasmian pembukaan kilang baharu itu disempurnakan oleh Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer.

Tambah Nathan, pihaknya amat komited untuk merawat alam sekitar dan sumber penting secara bertanggungjawab dalam memastikan generasi akan datang dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat. Oleh itu kami mempunyai visi untuk memberi peluang kepada seramai mungkin orang menikmati air bersih. Dengan penyelesaian yang bijak, cekap dan mampan, produk kami mengalirkan air – sama seperti yang selalu kami lakukan selama ini dan akan terus berbuat demikian pada masa akan datang.”

Kilang Wilo Malaysia

Kilang Wilo Malaysia merupakan platform pemasangan pertama di Asia Tenggara di bawah Kumpulan Wilo. Ia dilengkapi bahagian pemeriksaan pam sedutan akhir, pam multistage sebaris menegak, sistem peningkatan tekanan, sistem pemadam kebakaran dan pam berpecah paksi. 

Naib Presiden Kanan Pemasaran Rantau Pasaran Baru Kumpuan Wilo, Jens Dallendorfer berkata, syarikat memilih Malaysia sebagai ibu pejabat Wilo Asia Tenggara kerana kedudukan yang strategik di rantau ini selain mempunyai infrastruktur yang hebat dengan laluan perkapalan yang menarik serta kemudahan untuk menjalankan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

“Kira-kira 20 hingga 30 peratus produk yang dihasilkan akan dieksport ke rantau Asia Tenggara dan selebihnya adalah untuk keperluan domestik.  Pada masa ini, semua komponen bahan mentah dan pam datang dari kilang kami di China dan India. Aksesori dan plat asas diperoleh secara tempatan atau dihasilkan,” katanya.  

Dengan tenaga kerja seramai 150 orang di Asia Tenggara, Wilo Malaysia bakal menyediakan peluang kerja tempatan berkemahiran memandangkan kilangnya menggunakan sistem komputer dan automatik berteknologi tinggi.  

“Rancangan jangka pendek perniagaan kami akan menyaksikan tiga hingga enam produk utama syarikat dihasilkan di sini dan untuk rancangan jangka panjang, kami mahu melihat kilang pemasangan ini setaraf dengan kilang di Dortmund di Jerman, China, Korea Selatan dan India,” kata Jens.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.