Kelajuan rangkaian internet pada masa ini kadangkala dirasakan tidak mampu menampung keperluan dan kehendak peranti semasa.

Keadaan menjadi lebih sukar terutamanya di sesetengah tempat yang berkongsikan jalur lebar yang luas seperti bangunan pejabat, komplesk membeli belah dan kafe. Pengguna individu seperti penerbit kandungan video dan pemain permainan komputer juga amat memerlukan internet berkelajuan tinggi.

Berdasarkan keperluan semasa dan bagi memenuhi permintaan, satu piawaian baharu Wi-Fi baharu telah diwujudkan.

Apa itu Wi-Fi 6?

IEEE 802.11ax, atau lebih dikenali sebagai Wi-Fi 6 merupakan spesifikasi piawaian baharu selepas IEEE 802.11ac (atau Wi-Fi 5). Ia menjanjikan ketersambungan yang lebih baik, lebih pantas, dan peingkatan sokongan bagi peranti lebar jalur yang tinggi.

Piawaian IEEE 802.11ax pertama kali telah dicadangkan pada 2013 oleh Pasukan Kajian Kecekapan Tinggi WLAN IEEE (IEEE High-Efficiency WLAN Study Group).

Matlamat kewujudannya bagi meningkatkan kecekapan spektrum di lokasi yang sesak dengan sambungan router seperti di dalam apartment dan kompleks membeli-belah. Spesifikasi berkenaan berjaya mencapai sasarannya pada 2018 dan telah menerima persijilan oleh Wi-Fi Alliance pada penghujung 2019.

Bagaimana ianya berfungsi?

Router Wi-Fi 6 beroperasi di antara 2.4 dan 5.9 GHz. Ianya juga memberikan lebih perlindungan menerusi sekuriti Wi-Fi WPA3.

Untuk rangkaian besar, Wi-Fi 6 memberikan enkripsi yang lebih baik dan sokongan sekuriti yang lebih kukuh.

Wi-Fi Alliance turut menggariskan beberapa ciri penting yang bertanggungjawab meningkatkan ketersambungan Wi-Fi 6. Antaranya:

  • Orthogonal frequency division multiple access (OFDMA) berperanan mengasingkan setiap spektrum mengikut frekuensi
  • Multi-user multiple inputs, multiple outputs (MU-MIMO) menyokong sambungan berbilang peranti secara serentak.
  • Keupayaan penggunaan saluran 160Hz – meningkatkan bilangan jalur lebar yang boleh digunakan
  • Penghantaran isyarat secara pembentukan alur (beamforming) membolehkan tumpuan isyarat dipancarkan terus ke pengguna tanpa perlu dicapahkan ke spektrum yang luas. Seterusnya, tidak akan mengganggu jalur lebar pengguna lain di dalam rangkaian.

Seberapa pantaskah Wi-Fi 6?

Wi-Fi 6 berkeupayaan mencapai kelajuan sehingga 9.6Gbps, berbanding Wi-Fi 5 yang mencapai tahap maksimanya pada 3.5Gbps sahaja.

Selain itu, dengan adanya sokongan 5G untuk router Wi-Fi 6 kelak akan menaikkan kadar celus (throughput) dan merendahkan kependaman (latency) di kawasan yang lebih luas.

Pengeluar juga kini sedang di dalam proses membangunkan router Wi-Fi 6E yang dilengkapkan dengan cip yang boleh beroperasi pada jalur 6GHz. Saluran pada jalur ini dijangkakan bersaiz 160MHz setiap satu.

Bagaimana kita dapat memanfaatkan Wi-Fi 6?

Tidak semua peranti dilengkapkan dengan keupayaan yang terkini. Untuk menggunakan Wi-Fi 6, peranti yang digunakan juga perlu menyokongnya.

Telefon pintar keluaran 2019 dan ke atas termasuk yang lebih terkini seperti iPhone 12, Samsung Galaxy S21 dan sebagainya sudah mula menyediakan sokongan Wi-Fi 6. Malah laptop model terkini Dell XPS 2021 dan Lenovo Yoga c940 juga mempunyai piawaian ketersambungan nirwayar terbaru ini.

Adakah Wi-Fi 6 dapat meningkatkan kestabilan sambungan rangkaian?

Jawapan ringkasnya: bergantung pada keadaan. Sungguhpun Wi-Fi 6 menyediakan OFDMA dan MU-MIMO, ianya tidak menjamin kestabilan sepenuhnya sambungan sepanjang hari. Hal ini lebih memberi kesan bagi pengguna yang tinggal di kawasan yang sesak seperti di apartment, pejabat, stadium, restoran dan lain-lain.

Lagipun, prestasi sambungan Wi-Fi bagi pengguna-pengguna di sesebuah kawasan bergantung kepada tahap penggunaan individu. Walau secanggih mana pun teknologi yang digunakan, ianya tidak mampu menampung kehendak bagi setiap manusia yang menggunakannya. Permasalah sebegini masih lagi dibincangkan dan menjadi tumpuan utama di dalam Wi-Fi Forum.

Perlukah kita menaik taraf ke Wi-Fi 6 sekarang?

Wi-Fi 6 menawarkan pelbagai ciri kelebihannya berbanding piawaian sebelumnya. Namun begitu, anda tidak semestinya perlu tergesa-gesa mendapatkannya. Anda mungkin boleh mempertimbangkannya semula apabila lebih banyak peranti menyokong piawaian Wi-Fi 6 dikeluarkan kelak.

Cara terbaik untuk mendapatkan kelajuan sambungan Wi-Fi anda sementara menunggu Wi-Fi 6 ini adalah dengan berada dekat dengan router atau menguruskan penggunaan jalur lebar dengan lebih cekap.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.