WhatsApp telah mengumumkan ketersediaan kaedah perlindungan penipuan baharu untuk platform permesejannya. Ia merangkumi gambaran keseluruhan keselamatan untuk jemputan kumpulan borak dan tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap jenayah penipuan terancang.
Menurut WhatsApp, ciri “gambaran keseluruhan (safety overview)” baharu ini diaktifkan apabila pengguna ditambah ke dalam kumpulan borak oleh seseorang yang bukan di dalam senarai perhubungan.
Ia akan memberikan pratonton maklumat berkenaan kumpulan tersebut bersama-sama tips-tips keselamatan. Pengguna seterusnya boleh memilih sama ada untuk keluar serta-merta atau melihat sesi borak di dalam kumpulan terbabit untuk menilai sendiri. Apa yang penting, notifikasi kumpulan borak terbabit akan dibisukan (muted) sehingga pengguna sendiri yang memilih untuk kekal di dalamnya.
Penambahan ciri baharu ini melengkapkan alatan keselamatan sedia ada seperti sokongan menyekat dan melaporkan mesej meragukan, mensenyapkan panggilan tidak dikenali dan menghadkan siapa yang boleh menambah ke dalam kumpulan. Ia berfungsi bersama-sama sistem diautomasikan oleh pembelajaran mesin yang mengesan dan membuang akaun palsu dalam skala yang besar.
Dalam pada masa yang sama, WhatsApp juga sedang menguji sistem pemberitahuan baharu apabila mengesan penipu (scammer) yang ining memancing pengguna ke perbualan peribadi dengan memulakan hubungan di luar WhatsApp. Ia merangkumi kad konteks yang memberikan maklumat tambahan apabila pengguna mula bermesej dengan seseorang yang bukan di dalam senarai perhubungan supaya pengguna berfikir dahulu sebelum bertindak meneruskan perhubungan.
Selain perlindungan tahap pengguna, WhatsApp dan syarikat induknya Meta menyatkaan pihaknya akan terus giat membendung rangkaian penipuan yang beroperasi pada skala yang besar. Dalam tahun ini sahaja, kedua-dua platform berkenaan telah mengesan dan menyekat lebih dari 6.8 juta akaun yang mempunyai kaitan dengan pusat jenayah penipuan.