Dua hari selepas Bernama melaporkan penghantar (rider) makanan dan pembungkusan (p-hailing) akan diwajibkan untuk mengambil lesen vokasional GDL, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan lesen tersebut tidak diperlukan untuk p-hailing.
Di dalam sidang media semalam, beliau turut menyatakan penghantar-penghantar tidak perlu menghantar motorsikal masing-masing ke Puspakom untuk diperiksa.
“Mereka juga tidak perlu hadir ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seperti disyaratkan bagi kereta kerana penghantaran barangan melalui motosikal adalah secara kecil-kecilan dan mereka juga akan dikenakan caj minimum, iaitu tidak lebih RM10 bagi tujuan pendaftaran lesen.
“Masa nak serap mereka masuk (daftar), (kita akan) bagi moratorium dan tidak perlu bayar setahun. Dengan cara ini, kita akan dapat semua data mengenai penunggang p-hailing.”
Tambah beliau lagi, lesen vokasional khas itu membolehkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengetahui bilangan penunggang di Malaysia. Ia juga bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada kelompok-kelompok tenaga kerja berkenaan.
Baru-baru ini Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menerbitkan laporan mengenai penunggang p-hailing. Menerusi laporan tersebut, didedahkan tingkah laku 16,308 penunggang p-hailing. 62 peratus daripada penunggang p-hailing didapati melakukan seperti berhenti di petak kuning atau di lintasan pejalan kaki.
4 peratus penunggang p-hailing pula didapati memegang telefon dan melanggar lampu isyarat. Manakala 7 peratus membuat pusingan-U di tempat tidak dibenarkan, dan tiga peratus bertindak melawan arus berdasarkan kajian dibuat menerusi kamera litar tertutup di 11 jalan raya di Kuala Lumpur.
Isnin lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Ka Siong bersetuju Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dipinda bagi tujuan pengawalseliaan dan penetapan peraturan.