vivo telah mengesahkan kehadiran telefon pintar peringkat menengah baharunya, Y27s akan dilancarkan di Malaysia pada 25 November 2023. Telefon pintar berkenaan sebelum ini telah diperkenalkan di Indonesia pada awal bulan ini.
Secara ringkasnya, vivo Y27s menawarkan paparan LCD 6.64-inci beresolusi FHD+, kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 650 nits. Ia juga mempunyai pengimbas cap jari pada bahagian sisinya, selain turut menawarkan sokongan dwi-kad SIM, kad mikroSD, port USB-C dan juga kerintangan air dan debu IP54.
Di dalamnya, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 dengan konfigurasi RAM dan storannya hanya ditawarkan masing-masing 8GB dan 256GB untuk pasaran Malaysia.
Dikuasakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 44W, vivo Y27s dioperasikan oleh Android 13 melalui antaramuka Funtouch OS 13. Ketersambungannya pula menyokong dwi-jalur Wi-Fi, Bluetooth 5.0, dan NFC.
Lebih kurang sama dengan model-model lain di dalam siri ini, vivo Y27s menampilkan dwi-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP f/1.8 dengan kamera berkedalaman 2MP f/2.4, Dalam pada masa yang sama, telefon pintar ini mempunyai kamera hadapan 8MP f/2.0.
vivo Y27s yang hadir dengan pilihan warna Garden Green dan Burgundy Black akan dijual pada harga RM799 menerusi kedai rasmi vivo di seluruh negara selain turut dijual secara dalam talian di kedai rasminya di Shopee dan Lazada.