Unifi Mobile telah mengemaskini penawaran pas data di bawah pelan prabayar UNI5G WOW dengan memperkenalkan struktur kuota baharu yang lebih kompetitif.
Pengguna kini boleh melanggan pas bulanan dengan kuota data mencecah 1TB pada harga RM35 sebulan. Ia menggantikan penawaran “data tanpa had” yang disenaraikan sebelum ini.
Menurut Unifi Mobile, terdapat tiga pilihan pas utama yang telah diperbaharui, iaitu:
- UNI5G WOW PADU 35
- UNI5G WOW PADU 25
- UNI5G WOW PADU 10 (pas mingguan)
Bagi pelan UNI5G WOW PADU 35, pengguna akan dikenakan caj RM35 sebulan untuk menikmati kuota keseluruhan sebanyak 1TB. Kuota ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu 200GB untuk penggunaan rangkaian 4G/5G dan 800GB dikhaskan untuk rangkaian 5G. Pas ini turut disertakan dengan kuota hotspot sebanyak 10GB (4G/5G). Untuk masa terhad, promosi tambahan 50GB kuota hotspot khas untuk rangkaian 5G turut disediakan.
Seterusnya, pelan UNI5G WOW PADU 25 yang berharga RM25 sebulan kini menawarkan jumlah data sebanyak 100GB, peningkatan ketara berbanding 30GB yang ditawarkan sebelum ini. Kuota ini dipecahkan kepada 30GB untuk kegunaan 4G/5G dan 70GB untuk rangkaian 5G. Penggunaan hotspot bagi pas ini adalah berkongsi dengan kuota utama tersebut .
Bagi pengguna yang memerlukan pelan jangka pendek, UNI5G WOW PADU 10 tersedia pada harga RM10 dengan tempoh sah laku selama tujuh hari. Pas ini menyediakan kuota data 4G/5G sebanyak 20GB yang turut boleh digunakan sebagai hotspot .
Ciri-ciri Lain
- Panggilan Tanpa Had: Tersedia untuk kesemua tiga jenis pas.
- Data Rollover: Membolehkan pengguna membawa ke hadapan baki data dan kuota hotspot yang tidak habis digunakan ke minggu atau bulan berikutnya, tertakluk kepada kriteria tertentu.
- Kelajuan: Kelajuan rangkaian 4G dihadkan (capped) pada 5Mbps, manakala kelajuan 5G adalah berdasarkan “best effort”.
Pembaharuan ini dilihat sebagai langkah strategik Unifi Mobile untuk memberikan lebih nilai kepada pengguna prabayar dengan menawarkan kuota data 5G yang besar pada harga mampu milik.













