Utama Samsung Ulasan Samsung Galaxy Tab S10 FE Plus; Tablet Skrin Besar Bernilai Hebat

Ulasan Samsung Galaxy Tab S10 FE Plus; Tablet Skrin Besar Bernilai Hebat

102
0

Samsung telah memperkenalkan dua model tablet baharunya pada April lalu melalui Galaxy Tab S10 FE dan Galaxy Tab S10 FE Plus. Salah satu daripadanya, Galaxy Tab S10 FE Plus hadir dengan paparan paling besar antara kedua-duanya. Namun, formula selaku tablet peringkat menengah bagi siri ini masih lagi kekal.

Sebagaimana lazimnya, tablet keluaran Samsung ini menyediakan paparan yang menakjubkan dengan kualiti warna yang baik dan berpotensi menjadi tablet terbaik di pasaran.

Harga Samsung Galaxy Tab S10 FE Plus di Malaysia

Ditawarkan di dalam dua pilihan konfigurasi, Galaxy Tab S10 FE Plus yang boleh didapati dengan pilihan warna Gray, Silver dan Blue dijual pada harga:

  • Galaxy Tab S10 FE Plus (12GB+256GB, WiFi): RM2,799
  • Galaxy Tab S10 FE Plus (12GB+256GB, 5G): RM3,299

Bermula dari 8 Mei sehingga 15 Jun, siri tablet ini akan ditawarkan bersama-sama ITFIT Book Cover Keyboard (bernilai RM499) secara percuma. Anda juga boleh menikmati rebat segera RM200 untuk tukar-ganti.

Spesifikasi

Sistem operasi Android 15
Ukuran 300.6 x 194.7 x 6.0 mm
Berat 664 gram
Saiz skrin 13.1-inci
Resolusi skrin 2,880 x 1,800 piksel
CPU Exynos 1580 (4nm)
RAM 8GB/12GB
Kapasiti storan 128GB/256 GB
Bateri 10,090 mAh, pengecasan berwayar 45
Kamera Belakang 13MP, hadapan 12MP

Rekabentuk

Galaxy Tab S10 FE Plus menampilkan ciri rekabentuk yang sama seperti kebanyakan tablet peringkat menengah Samsung setakat ini. Ia menampilkan binaan aluminium dengan bezel yang agak tebal, bahagian bermagnet untuk melekapkan S Pen, dan juga kamera tunggal di belakangnya. Tiada sebarang takuk atau apa-apa bentuk pada bahagian paparannya, yang mana ia bagus kerana tidak menggangu pandangan pada skrin.

Berukuran 300.6 x 194.7 x 6.0 mm, ia boleh dikirakan sebagai antara tablet yang nipis di pasaran. Ia juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68 bagi meningkatkan ketahanannya dari sebarang kerosakan fizikal.

Salah satu yang berubah pada model kali ini adalah saiz skrinnya yang kini 13.1-inci berbanding Galaxy Tab S9 FE Plus yang berukuran 12.4-inci. Kecerahan puncak paparannya pula kini berada pada paras 800 nits di dalam mod kecerahan tinggi bersama-sama resolusi 2,880 x 1,800 piksel dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Walaupun kelihatan agak rendah bagi sesebuah peranti dengan paparan 13.1-inci, ia masih lagi memuaskan.

Bercakap mengenai skrinnya, ia masih lagi menggunakan LCD IPS. Lebih rendah berbanding skrin OLED yang digunakan pada tablet-tablet yang lebih mercu. Cuma, sekurang-kurangnya paparannya ini lebih baik dari segi kontras dan kecerahan puncaknya berbanding tablet-tablet bajet dan pertengahan di pasaran.

Sokongan S Pen masih lagi disediakan untuk paparan siri tablet ini dan seperti biasa, pena stylus tersebut didatangkan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya. Begitu juga dengan sokongan biometrik imbasan cap jarinya yang masih lagi ditempatkan pada butang kuasanya.

Papan Kekunci dan S Pen Galaxy Tab S10 FE Plus

Galaxy Tab S10 FE Plus menyokong aksesori Book Cover Keyboard dan Book Keyboard Slim (dijual secara berasingan) bagi meningkatkan versatilitinya. Book Cover Keyboard yang lebih premium antara keduanya ini menampilkan pad penjejak yang dimuatkan bersama-sama papan kekuncinya. Ia lebih mirip dengan pad penjejak yang biasanya terdapat pada kebanyakan laptop.

Buat anda yang membuat pembelian bermula dari 8 Mei sehingga 15 Jun, anda turut ditawarkan dengan ITFIT Book Cover Keyboard (bernilai RM499) secara percuma. Aksesori yang juga mempunyai papan kekunci dengan pad penjejak ini boleh dilekapkan secara magnetik pada bahagian pelapiknya. Ia boleh bersambungan dengan tablet secara Bluetooth dan perlu dicaskan secara berasingan melalui port USB-C yang disediakan pada sisinya.

Samsung seperti biasa menyediakan S Pen di dalam kotak pembungkusan Galaxy Tab S10 FE Plus, sesuatu yang gagal dituruti oleh iPad Pro. Pena stylus boleh dilekapkan secara magnetik pada permukaan belakang dan juga pada bahagian atasnya jika tidak digunakan.

Penggunaan S Pen sebagaimana pada peranti-peranti Samsung yang lazimnya mudah dan lancar. Anda boleh menggunakannya pada kadar segera tanpa perlu mengecaskannya atau perlu membuat tetapan ketersambungannya.

Ia boleh digunakan bagi tujuan menyorotkan (highlight) teks dengan menekan dan meleretkannya, selain boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan aplikasi Samsung Notes. Sebagaimana lazimnya juga, pengalaman menulis menggunakan S Pen dijamin amat lancar bersama-sama teknologi pengecaman tulisan tangan dan juga ciri auto-justification.

Apalah maknanya S Pen tanpa menggunakannya untuk melukis. Berdasarkan pengalaman menggunakannya pada aplikasi melukis kegemaran Sketchbook, Samsung masih lagi konsisten tidak mengecewakan dari segi kelancaran dan aliran strok lukisan saya pada aplikasi tersebut. Selain Sketchbook, aplikasi melukis seperti Clip Paint Studio (CPS) dan PENUP juga amat sesuai digunakan bersama-sama S Pen pada Galaxy Tab S10 FE Plus.

Prestasi Galaxy Tab S10 FE Plus

Dilengkapkan dengan Exynos 1580, Galaxy Tab S10 FE Plus menggunakan pemprosesan peringkat menengah terbaik 2025 yang ditawarkan Samsung. Pemprosesan ini juga digunakan pada telefon pintar peringkat menengah utama tahun ini, Galaxy A56 5G.

Dibina menggunakan proses pembuatan 4nm, pemprosesan ini menawarkan peningkatan prestasi CPU dan GPU dari Galaxy Tab S9 FE Plus yang sebelum ini menggunakan Exynos 1380. Pemprosesan ini juga digunakan pada Galaxy A35 dan oleh yang demikian, perbandingannya boleh dianggap seperti beza antara Galaxy A35 5G dengan Galaxy A56 5G.

Prestasinya secara keseluruhan amat baik walaupun ia bukanlah tablet berkuasa tinggi dan beberapa isu sedikit kelembapan kadang-kadang boleh berlaku walaupun amat jarang.

Dari segi prestasi grafiknya pula, tablet ini bukanlah peranti pilihan utama untuk memainkan permainan mudah alih dengan tetapan grafik tinggi. Anda boleh memainkan apa jua permainan pada Galaxy Tab S10 FE Plus, namun ia perlu ‘berjuang’ untuk memainkan pada tetapan grafik yang tinggi.

Di Malaysia, Galaxy Tab S10 FE Plus ditawarkan hanya di dalam konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB, baik untuk varian Wi-Fi sahaja atau Wi-Fi dan 5G. Kedua-duanya mempunyai slot kad mikroSD dengan sokongan sehingga 2TB, serta ketersambungan Wi-FI 6 dan Bluetooth 5.3.

Perisian

Galaxy Tab S10 FE Plus didatangkan dengan sistem operasi Android 15 melalui antaramuka One UI 7 yang paling terkini. Ia didatangkan bersama-sama ciri-ciri berasaskan AI seperti:

  • Circle to Search – Gaya terkini carian dengan Google
  • Solve Math – Mirip dengan iPadOS yang membantu anda membuat kira-kira matematik terus di dalam Samsung Notes.
  • Handwriting Help – Membantu mengemaskan tulisan tangan bagi menambahbaik kualiti catatan nota anda.
  • Galaxy AI Key – Kekunci khas Galaxy AI pada aksesori papan kekunci Samsung untuk melancarkan pembantu AI pilihan anda dengan segera.
  • Object Eraser – Membuang objek-objek yang tidak dikehendaki di dalam foto.
  • Best Face – Memilih dan menggabungkan ekspresi wajah terbaik secara automatik dari sejumlah foto-foto yang ditangkap.
  • Auto Trim – Menyorotkan reels dari video-video anda.

Beberapa aplikasi dipra-muat pada tablet ini merangkumi LumaFusion, Goodnotes, Clip Studio Paint, Noteshelf 3, Sketchbook dan Picsart. Seperti biasa, Samsung menawarkan sokongan perisian yang panjang sehingga tujuh tahun untuk tablet ini.

Bateri dan Audio

Tablet ini hadir dengan bateri besar 10,090mAh yang sesuai dengan keperluan pemprosesan Exynos 1580 yang berkecekapan dalam pengendalian tenaga, sama seperti prestasinya pada Galaxy A56.

Ia mampu mencapai lebih dari 17 jam bagi penggunaan melayari laman web, lebih dari11 jam untuk tonton video strim, dan hampir 11 jam untuk permainan video mudah alih. Untuk pengecasannya pula, ia menyokong 45W yang lebih dari mencukupi untuk isian segera.

Kualiti audionya pula amat baik dan jelas pembesar suara stereonya yang amat lantang dan menerima penalaan khas dari AKG. Justeru, ia mampu memainkan audio dengan baik sama ada suara mahupun muzik.

Kamera

Galaxy Tab S10 FE Plus hanya menampilkan sebuah kamera 13MP sahaja pada bahagian belakangnya, tanpa kamera ultra-lebar 8MP seperti model sebelum ini. Kamera hadapan pula merupakan sebuah kamera 12MP yang sangat ‘function’ untuk panggilan video. Kualiti imejnya baik dan bukanlah terlalu buruk untuk digunakan bagi sesebuah tablet. Video juga amat baik dengna kedua-dua kameranya ini mampu merakamkan video pada 30fps dengan kualiti yang baik.

Kesimpulan

Tablet keluaran Samsung baharu ini merupakan alternatif terbaik untuk tablet-tablet mercu Samsung yang lain dan juga Apple iPad yang dijual pada harga lebih kurang sama.

Walaupun ia tidak menawarkan kuasa pemprosesan tertinggi, namun atas faktor harga yang ditawarkannya ia merupakan pembelian yang berbaloi. Antara kekuatannya terletak pada kualiti kamera, dan pembesar suara serta rekaan yang agak kompak.

Secara keseluruhannya, ia merupakan tablet yang bagus bagi kegunaan harian dengan keupayaan yang secukupnya bagi menampung keperluan permainan mudah alih yang kasual.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.