Utama Ulasan Produk Ulasan Redmi 14C; Telefon Pintar Bergaya pada Harga Bajet bawah RM500

Ulasan Redmi 14C; Telefon Pintar Bergaya pada Harga Bajet bawah RM500

65
0

Pasaran telefon pintar pada hari ini amat kompetitif terutama untuk segmen harga mampu milik. Salah satu daripadanya, Redmi 14C yang hadir pada harga di bawah RM500 yang tidak kalah dari segi gaya rekabentuknya.

Kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat telefon pintar harga bajet baharu keluaran Redmi ini yang secara keseluruhannya berbaloi dengan harga yang ditawarkannya.

Spesifikasi

Ukuran171.9 x 77.8 x 8.2 mm
Berat211 g
SkrinLCD IPS
Resolusi720 x 1640 piksel
Kadar penyegaran semula skrin120Hz
PemprosesaMediatek Helio G81 Ultra
RAM6GB / 8GB
Storan128GB / 256GB
Sistem operasiAndroid 14; HyperOS
Kamera belakang50MP f/1.8 (utama), 2MP f/2.4 (berkedalaman), 0.08MP (lensa sokongan)
Kamera hadapan13MP f/2.0
Bateri5,160 mAh
PengecasanBerwayar 18W
WarnaMidnight Black, Sage Green, Dreamy Purple, Starry Blue

Kelebihan dan Kekurangan

@harianteknologi

Unboxing Redmi 14C #redmi14C #unboxing @xiaomimalaysia

♬ Jazz Bossa Nova – TOKYO Lonesome Blue

Kelebihan

  • Rekaan yang premium
  • Kamera yang baik
  • Prestasi yang baik

Kekurangan

  • Aplikasi sarap dan iklan di dalam aplikasi
  • Kadar penyegaran 120Hz masih lagi boleh dioptimasikan

Harga Redmi 14C di Malaysia

Telefon pintar Redmi 14C telah pun tiba di pasaran Malaysia sejak 13 September 2024 dengan menawarkan dua pilihan konfigurasi yang terdiri daripada:

  • Redmi 14C (6GB + 128GB) – RM449
  • Redmi 14C (8GB + 256GB) – RM599

Anda boleh mendpaatkan Redmi 14C menerusi wakil pengedar Xiaomi yang sah di seluruh negara, di kedai dalam talian rasmi Xiaomi serta menerusi kedai rasminya di Shopee dan Lazada.

Rekabentuk

Telefon pintar berharga bajet tidak semestinya mempunyai rekabentuk yang sendu dan Redmi 14C membuktikannya dengan menampilkan rekaan yang nampak premium. Hadir dengan modul kamera berbentuk bulatan, pilihan warna Dreamy Purple seperti unit ulasan yang kami terima ini mampu mencuri perhatian.

Bagaimanapun, pada di hadapannya pula rekaannya kelihatan biasa-biasa sahaja terutamanya pada bahagian ‘dagu’ dibawahnya kerana bingkai yang tebal. Ruangan yang menempatkan kamera hadapannya pula berbentuk corak titisan air berbanding berpenebuk lubang seperti telefon pintar yang lebih tinggi harganya.

Paparannya pula merupakan panel LCD IPS 6.88-inci dengan resolusi HD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz. Amat tinggi untuk sesebuah telefon pintar berharga bajet dan sesuatu yang tidak ditawarkan pada iPhone 16 keluaran tahun ini yang sekadar menawarkan 60Hz sahaja.

Secara lalainya, ia ditetapkan paling tinggi boleh mencecah sehingga 90Hz dan untuk menikmati 120Hz, anda boleh memilih secara manual pada pilihan “Up to 120Hz”. Tontonan di bawah sinaran matahari tidak begitu jelas memandangkan tahap kecerahan tertinggi yang mampu dicapainya hanya sekitar 600 nits melalui High Brightness Mode.

Pun begitu, saya tidak menjangkakan pengendalian paparannya akan kelihatan lancar memandangkan harga yang ditawarkannya amat mesra bajet. Kualiti paparannya baik untuk kegunaan media sosial seperti TikTok, Instagram dan sebagianya.

Tiada pembesar suara stereo ditawarkannya dan hanya terdapat satu pembesar suara mono. Jika anda ingin menikmati kualiti audio stereo, telefon pintar ini ada menyediakan bicu audio 3.5mm.

Prestasi

Telefon pintar ini dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Helio G81 Ultra. Cipset dengan proses pembuatan 12nm ini mempunyai senibina yang sama seperti Helio G85 dan seperti yang dijangka, prestasinya lebih kurang sama.

Ia mampu mengendalikan tugasan harian seperti panggilan telefon, media sosial dan juga menonton kandungan-kandungan media.

Beberapa permainan mudah alih yang ringan seperti Subway Surfers, Candy Crush dan seangkatan dengannya dapat dimainkan pada telefon pintar ini. Untuk yang lebih tinggi keperluannya seperti PUBG Mobile, ia sekadar dapat dimainkan dengan baik pada kadar 30 fps sahaja.

Apa yang bagusnya dengan telefon pintar ini, konfigurasi RAM yang ditawarkannya bermula dari 6GB dan ia bersesuaian dengan keperluan aplikasi masa kini yang agak tinggi. Pengguna yang inginkan lebih lagi kapasiti RAM pada telefon pintar ini juga boleh menambahkannya secara maya sehingga 12GB lagi melalui sokongan VRAM.

Redmi 14C menggunakan RAM LPDDR4X, manakala storannya yang berkapasiti 128GB pula merupakan eMMC 5.1. Jenis storan tersebut tentunya lebih perlahan jika dibandingkan dengan UFS 4.0 yang lebih baharu. Namun ia memadai untuk sesebuah telefon pintar pada harga ini.

Dari segi ketersambungannya pula, telefon pintar ini menawarkan sokongan 4G LTE, Bluetooh 5.4 (AAC / SBC / LDAC), Wi-Fi 2.4GHz | 5GHz, dan juga FM radio dengan menggunakan bicu audio 3.5mm.

Perisian dan Antaramuka

Telefon pintar ini menggunakan antaramuka Xiaomi HyperOS yang berasaskan Android 14. Ia membawakan sokongan pengubahsuaian pada skrin berkunci, ikon dan sebagainya.

Bagaimanapun tidak semua ciri-ciri HyperOS ada pada antaramukanya ini. Misalnya hiasan latar skrin berkunci 3D tidak disediakan dan hal ini amat difahami.

Selain itu, beberapa aplikasi-aplikasi sarap dan iklan-iklan didatangkan bersama-sama dengan telefon pintar ini. Pun begitu, melalui tetapan anda boleh membuangkan dan mematikan pilihan untuk menerima cadangan (recommendation).

Kamera

Redmi 14C menempatkan dua buah kamera pada bahagian belakangnya. Namun, secara teknikalnya kamera utama 50MP lebih banyak digunakan berbanding kamera bantuan yang ditempatkan pada bahagian belakangnya itu.

Pada sebelah hadapannya disediakan sebuah kamera 13MP f/2.0 yang boleh memberikan gambar yang sederhana sahaja bagi kegunaan perkongsian media sosial.

Untuk fotografi di luar pada waktu siang, telefon pintar ini didapati memberikan warna yang kelihatan lebih neutral. Ia tidak kelihatan tumpat seperti pada kamera sesetengah model telefon pintar.

Rakaman videonya pula seperti yang dijangka, menawarkan resolusi sehingga 1080p dengan kadar bingkai 30fps.

Bateri dan pengecasan

Kapasiti bateri untuk telefon pintar ini – 5,160mAh sedikit besar berbanding kebanyakan model yang ada di pasaran pada ketika ini terutamanya pada segmen yang sama. Ia mampu bertahan sehingga sehari setengah bagi penggunaan yang sederhana.

Pengeluar telefon pintar ini juga dilihat bermurah hati dengan menawarkan pengecas 33W di dalam kotak pembungkusannya. Walaubagaimanapun, sokongan pengecasan pantas bagi Redmi 14C hanya pada 18W sahaja. Ok la tu, untuk korang yang ada telefon pintar Xiaomi lain yang menyokong pengecasan 33W, boleh memanfaatkan pengecas tersebut.

Kesimpulan

Redmi 14C menyediakan fungsi dan spesifikasi yang setara dengan harga bajet yang ditawarkannya. Rekaannya pula tidak lokek dengan harganya dan kelihatan premium seakan-akan telefon pintar peringkat menengah.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.