Alatan Generative Edit berkuasa kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) oleh Samsung merupakan penambahan terkini di dalam aplikasi Gallery dan ia hanya eksklusif untuk siri Galaxy S24 buat masa ini. Saya telah mencuba Generative Edit pada unit ulasan Galaxy S24 Ultra yang diterima dan ia mempunyai potensi menjadi sebuah alatan produktiviti yang mantap bagi kegunaan harian.
Secara ringkasnya, Generative Edit menawarkan fungsi untuk memutarkan imej yang senget dan mengisikan ruang kosongnya serta fungsi memangkas objek di dalam imej.
Isi Kandungan
Cara guna Generative Edit untuk Putar dan Isi (Rotate and Fill)
Untuk fungsi putar dan isi imej, Generative Edit mampu memutarkan sesebuah foto yang kelihatan senget dan mengisikan ruangan kosong yang ditinggalkan bagi memberikan kesan foto yang nampak penuh seperti contoh berikut:
Ciri ini boleh diakses melalui ikon pensel di dalam aplikasi Gallery, kemudian:
- Ketik pada ikon bintang tiga pada sebelah kiri
- Kemudian paparan akan berubah dengan butang ‘Generate’ dengan ikon bintang tiga pada bahagian bawah dengan senggat melaraskan sudut pada bawah imej
- Laraskan kedudukan imej mengikut kesesuaian anda, misalnya putarkan untuk menjadikan ia tegak.
- Tekan butang ‘Generate’ dan tunggu sehingga imej selesai dijana
- Tekan butang ‘Done’ jika anda berpuas hati dengan imej yang dijanakan
Dalam kebanyakan masa, fungsi ini dapat menghasilkan kesan imej yang amat baik. Cuma imej yang dimanipulasikannya sekali-sekala akan kelihatan ‘terlalu diedit’ bergantung pada imej asalnya.
Hal yang jarang-jarang berlaku ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang besar kerana tidak semua orang akan mengambil perhatian yang terperinci pada penjuru imej.
Fungsi ini secara keseluruhannya boleh menjadi amat berguna untuk suntingan imej walaupun ia tidak sesempurna kerja suntingan profesional yang menggunakan Photoshop.
Cara guna Generative Edit untuk Memangkas Objek (Object Cropping)
Selain itu, Generative Edit juga boleh digunakan untuk memangkas objek di dalam imej dengan mengetik dan memegang objek yang dipilih di dalam imej. Ia mirip dengan fungsi Image Clipper di dalam aplikasi Gallery yang mula ditawarkan ketika Galaxy S23 dilancarkan.
Sebaik sahaja objek tersebut dipilih, anda boleh memadamkan, mengubah saiz, memutar dan juga menggerakkannya ke mana-mana bahagian di dalam foto. Ruangan yang ditinggalkan oleh objek yang dipilih tadi akan diisi oleh AI.
Berdasarkan pengalaman saya menggunakan fungsi ini, adakalanya AI tersebut mempunyai masalah menguruskan bayang-bayang dan ada masanya ia mengubahkan objek yang dipilih kepada objek lain. Begitu juga halnya jika anda cuba memanipulasikan objek yang mempunyai dua keadaan pencahayaan gelap dan terang di lokasi imej tersebut. Hasil suntingannya kelihatan amat keterlaluan super-imposenya.
@harianteknologi Cara buang objek kat dalam gambar guna Generative Edit Galaxy AI Samsung Galaxy S24 Ultra #Samsung #GalaxyAI #galaxys24ultra #generativeedit ♬ Keep Hope Alive – There Is Hope Mix – The Crystal Method
Tapi, bila masa ia berfungsi dengan cemerlang, hasilnya kelihatan amat ajaib!
Ciri ini boleh diakses melalui ikon pensel di dalam aplikasi Gallery, kemudian:
- Ketik pada ikon bintang tiga pada sebelah kiri
- Kemudian paparan akan berubah dengan butang ‘Generate’ dengan ikon bintang tiga pada bahagian bawah dengan senggat melaraskan sudut pada bawah imej
- Lukiskan pada objek yang anda ingin padamkannya
- Tekan pada ikon pemadam pada objek berkenaan
- Tekan butang ‘Generate’ dan tunggu sehingga imej selesai dijana
- Tekan butang ‘Done’ jika anda berpuas hati dengan imej yang dijanakan
Secara keseluruhannya, saya berpendapat ciri Generative Edit di dalam siri Galaxy S24 ini amat seronok untuk digunakan dengan fungsi putar dan isi imejnya pula amat berguna untuk membaiki foto-foto yang ditangkap senget. Bagaimanapun, untuk fungsi memangkas objek pula pada saya boleh diperkemaskan lagi penawarannya. Mungkin kemaskini yang akan datang mampu mengatasi beberapa kekurangannya.
Lagipun, ini merupakan percubaan pertama Samsung memanfaatkan penggunaan teknologi AI di dalam perantinya dan ia menunjukkan potensi yang amat besar. Pada pandangan saya, ciri Generative Edit ini dijangka akan ditambah baik dari masa ke semasa sesuai dengan kepesatan perkembangan teknologi kecerdasan buatan pada masa kini.