Earbuds nirwayar pada hari ini sudah menjadi salah satu barangan peribadi yang tidak asing lagi pada masa kini untuk digunakan bersama-sama peranti yang menyokongnya baik telefon pintar mahupun komputer desktop yang menyokong sambungan Bluetooth.
Selepas melancarkan Galaxy Buds 2 Pro pada 2022, Samsung tidak melancarkan kesinambungan tersebut pada tahun lepas dan terus memperkenalkan Galaxy Buds 3 Pro pada tahun ini. Aksesori ini diperkenalkan bersama-sama Galaxy Z Fold 6, Flip 6, Watch 7 dan Watch Ultra ketika acara Galaxy Unpacked 2024 di Paris baru-baru ini.
Isi Kandungan
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
- Kualiti audio yang mengkagumkan
- ANC yang berkesan
- Rekabentuk yang ringan dan ergonomik
Kekurangan
- Putik telinga sedikit sukar untuk ditukarkan
- Beberapa ciri menarik memerlukan telefon pintar Galaxy yang baharu
Spesifikasi dan Harga Galaxy Buds 3 Pro
Spesifikasi
Pemacu | Pemacu dinamik 10mm + planar tweeter |
Active noise cancellation (ANC) | Ada |
Tempoh bateri | 7 jam (earbuds) 30 jam (bekas pengecas) |
Berat | 5.4g (earbuds) 46.5g (bekas pengecas) |
Ketersambungan | Bluetooth 5.4 |
Kerintangan air & debu | IP57 (earbuds sahaja) |
Harga
Anda boleh mendapatkan Galaxy Buds 3 Pro pada harga RM999 menerusi kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia serta di Shopee, Lazada dan juga wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.
Rekabentuk dan Penambahbaikan
Paling ketara yang berlaku terhadap Galaxy Buds 3 Pro ini adalah pada rekabentuknya, baik pada earbuds dan juga bekas pengecasnya. Ia tidak lagi mempunyai rekabentuk seperti generasi terdahulu yang hadir dengan rekabentuk earbuds seakan kekacang dan bekas pengecasnya berbentuk kubus (seperti bekas cincin). Sejak dari tahun 2020, Galaxy Buds sering menampilkan rekabentuk unik yang hampir sama bagi setiap keluarannya.
Bagi pengguna biasa, rekabentuk Galaxy Buds 3 Pro ini kelihatan seperti rekabentuk earbuds keluaran Apple, AirPods yang mempunyai rekaan bertangkai. Malah bekas pengecasnya juga kini berbentuk segi empat tepat yang lebih meninggi berbanding model terdahulu. Bekas pengecas dan earbuds Galaxy Buds 3 Pro boleh didapati dengan pilihan warna putih dan juga perak seperti unit ulasan yang kami terima ini.
Walaupun rekabentuknya berbeza, penawaran di dalam kotak pembungkusannya masih lagi sama seperti sebelumnya. Tiada pengecas disediakan dan di dalamnya ia hanya mempunyai seutas kabel USB-C dan set tip-tip silikon tambahan dengan saiz berbeza yang terdiri daripada kecil dan besar. Saiz sederhana pula telah dipasangkan pada earbuds berkenaan.
Lampu LED ‘Blades’
Apa yang mencuri tumpuan pada Galaxy Buds 3 Pro adalah jalur lampu pada tangkai yang dirujuk sebagai ‘blades’ oleh Samsung. Jalur lampu LED berwarna putih berperanan sebagai lampu petunjuk status untuk penyambungan dan juga untuk memudahkan anda mencarinya jika tercicir.
Anda juga boleh menjadikan diri anda tumpuan orang di sekeliling anda dengan menekan lama pada tangkainya untuk menjadikan jalur lampu berkenaan terus menyala.
Earbuds ini juga mempunyai kerintangan debu dan air IP57 yang telah ditambahbaik dari Galaxy Buds 2 Pro yang hanya mempunyai penarafan IPX7. Cuma untuk bekas pengecasnya sahaja yang tidak mempunyai ciri kerintangan debu dan air.
Dari segi rekaan, beberapa penambahbaikan bagi kemudahan pengguna turut diberika seperti setiap jalur warna bagi membezakan bahagian earbuds tersebut. Pada sebelah kiri ia ditandakan dengan warna biru, manakala sebelah kanan pula ditandakan dengan warna jingga.
Bahagian penutup bekas pengecasnya juga kini dalam bentuk semi-lutsinar yang lebih praktikal untuk mengetahui sama ada earbuds berkenaan telah diletakkan di dalamnya atau telah tercicir. Di bawahnya pula terdapat butang pemadan (pairing) dan port USB-C untuk pengecasan.
Prestasi audio
Galaxy Buds 3 Pro juga merupakan earbuds Samsung paling cemerlang untuk tahun ini dan ia berkesinambungan dari Galaxy Buds 2 Pro yang dilancarkan pada tahun 2022. Sesuai dengan tarafnya, earbuds nirwayar ini mempunyai planar tweeter 6.1mm yang bergandingan dengan pemacu dinamik 10.5mm bersama-sama respon frekuensi 20Hz – 40KHz.
Terdapat juga sokongan Samsung Seamless Codec (Codec) yang menawarkan main semula muzik 24-bit/96kHz bagi memastikan bunyi yang lebih tinggi kualitinya bersama-sama sokongan untuk codec AAC dan SBC.
Tempoh penggunaan bateri juga dipertingkatkan pada Galaxy Buds 3 Pro dengan kapasiti bateri pada earbuds kini lebih besar 53mAh. Manakala bekas pengecasan pula mempunyai kapasiti lebih besar 515mAh.
Anda boleh menggunakan earbuds ini sehingga 5 jam secara berterusan untuk sekali cas. Jika menggunakannya bersama-sama bekas pengecasnya, ia boleh digunakan sehingga 26 jam bersama-sama ciri ANC dan jika ANC tersebut dimatikan, ia boleh digunakan sehingga 30 jam. Bekas pengecasnya ini juga boleh menyokong pengecasan nirwayar.
Kualiti pembuatan Galaxy Buds 3 Pro juga ditumpukan pada ciri-ciri ergonomik yang selesa untuk dikendalikan. Anda boleh membuka dan menutup bekas pengecasnya dengan sebelah tangan sahaja. Earbuds ini juga selesa dan ergonomik rekabentuknya dengan pilihan untuk menukar putik telinga mengikut saiz yang bersesuaian dengan lubang telinga. Cuma untuk menggantikannya, terdapat sedikit kesukaran ketika ingin menanggalkannya.
Tetapan dan Kawalan
Menggunakan Galaxy Buds 3 Pro amat mudah untuk diuruskan walaupun untuk penetapan pertama kalinya terutama untuk anda yang menggunakan peranti Samsung Galaxy.
Ia mengambil masa dalam tempoh beberapa saat untuk memasang firmware yang diperlukan bagi memastikan ia boleh digunakan melalui aplikasi Galaxy Wearable. Bagi pengguna yang tidak menggunakan peranti Galaxy, anda boleh memuat turun aplikasi Galaxy Wearable terlebih dahulu sebelum menyambungkan dengan Buds 3 Pro.
Melalui aplikasi Galaxy Wearable ini, anda boleh melaraskan beberapa tetapan seperti mod Ambient Sound, Adaptive atau Active Noise Cancelling (ANC) mengikut kehendak anda. Anda juga boleh membenarkan earbuds ini mengubah ke bunyi ambien jika terdapat perkara-perkara penting berlaku di persekitaran anda. Misalnya ketika ada bunyi loceng kecemasan, siren bomba atau ambulans mahupun jika ada seseorang yang datang untuk bercakap.
Aplikasi ini juga membenarkan anda melaraskan tetapan equliser, dan mengaktifkan penjejakan kepala (head tracking) 360 darjah yang mirip seakan-akan audio spatial. Lain-lain ciri kawalan earbuds juga boleh diubahsuai melalui aplikasi ini termasuk pilihan untuk mengawal melalui arahan suara.
Fungsi arahan suara terbina di dalamnya melalui firmware dan anda tidak memerlukan tetapan yang rumit untuk memulakannya. Arahan-arahan tersebut boleh dibuat dengan menyatakan beberapa perkataan seperti:
- ‘Volume Up’
- ‘Volume Down’
- Play Music
- Stop Music
- Next Song
- Previous Song
- Answer Call
- Reject Call
Kawalan pada earbuds Galaxy Buds 3 Pro ini kebanyakannya melibatkan picitan pada bahagian tangkainya. Misalnya, untuk sekali picitan, ia akan memain atau menjedakan muzik, picitan dua kali pula akan membawa ke kandungan berikutnya, dan tiga kali picitan pula akan membawa kembali ke kandungan sebelumnya. Untuk melaraskan bunyi pula, anda boleh memegang pada tangkai sambil jari satu lagi menolak ke atas untuk menguatkan bunyi atau turun ke bawah untuk memperlahankan.
Galaxy AI pada Galaxy Buds 3 Pro
Fungsi-fungsi janaan AI dimanfaatkan sebaiknya melalui Galaxy Buds 3 Pro dengan membawakan ciri-ciri dan penambahbaikan baharu. Antaranya keupayaan pembatalan hingar aktif adaptif (adaptive active noise cancellation) yang ditambahbaik dengan menukarkan ke mod hingar ambien secara automatik apabila mengesan bunyi siren dan suara. Ia dilakukan bagi tujuan mengutamakan bunyi di luar yang lebih penting untuk memastikan anda peka dengan persekitaran.
Satu lagi ciri dikuasakan AI yang juga memanfaatkan Galaxy AI – Interpreter Listening Mode yang membolehkan anda mendapatkan terjemahan secara terus ke earbuds anda. Anda boleh memilih bahasa yang dikehendaki apabila berinteraksi dengan pengguna lain dengan menghubungkannya melalui mod Live Translate di dalam telefon pintar Samsung Galaxy.
Ciri ini boleh juga digunakan tanpa menggunakan Buds 3 Pro dengan terus pada telefon pintar Galaxy. Namun, ia lebih mudah dengannya kerana anda tidak perlu mengetik pada telefon pintar di sepanjang terjemahan secara langsung tersebut berlaku.
Bagaimanapun ciri-ciri AI tersebut hanya terhad pada siri telefon pintar mercu Samsung Galaxy yang menerima kemaskini One UI 6.1.1 yang terkini.
Prestasi Buds 3 Pro
Dari segi kualiti bunyi, unit ulasan Galaxy Buds 3 Pro memberikan kesan yang menakjubkan ketika menikmatinya. Apabila digandingkan dengan Galaxy Z Flip 6, earbuds ini mampu menyerlahkan bunyinya yang kaya lagi terperinci kualiti bassnya.
Muzik ikonik dari Gheorghe Zamfir, The Lonely Shepherd yang menggunakan instrumen pan flute lebih menakjubkan dan lebih syahdu apabila menggunakan Galaxy Buds 3. Perincian bunyi dari setiap instrumen juga lebih nikmat apabila mendengar muzik-muzik yang dimainkan oleh orkestra seperti muzik tema trilogi The Lord of The Rings.
Penambahbaikan perkakasannya juga lebih ketara peningkatan mutunya apabila anda mendengar dari sumber audio yang beresolusi tinggi seperti ketika anda mendengar runut 24-bit/96kHz melalui langganan Spotify Premium.
Dari segi fungsi pembatalan hingar aktif pula, Galaxy Buds 3 Pro mampu menenggelamkan bunyi-bunyi dipersekitaran seperti ketika di dalam tren. Walaupun ia tidak ‘memadamkan’ keseluruhan bunyi tersebut, ia boleh membantu anda mendengar apa yang dimainkan oleh media peranti anda melalui earbuds tersebut.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Buds 3 Pro merupakan earbuds yang premium dengan rekabentuk luaran yang mantap di samping mampu menyediakan kualiti bunyi yang menakjubkan. Prestasi ciri sokongan pembatalan hingar yang disediakannya juga cemerlang terutamanya apabila digandingkan dengan telefon pintar Samsung yang dikemaskini dengan One UI versi paling terkini.
Selain kualiti bunyi yang telah dipertingkatkan, kawalan suara dan rekabentuk yang lebih praktikal, Galaxy Buds 3 Pro merupakan naik taraf yang berbaloi bagi anda yang sebelum ini pernah menikmati Buds 2 Pro.