Sekumpulan pekerja di sebuah janakuasa nuklear di Ukraine baru-baru ini telah ditahan kerana menggunakan sumber kuasa eletrik dari janakuasa nuklear berkenaan untuk melombong kriptowang. Kegiatan mereka ini telah dikesan oleh agensi Perkhidmatan Rahsia Ukraine dalam satu serbuan di salah sebuah janakuasa nuklear Selatan Ukraine.
Menurut akhbar Telegraph, pekerja-pekerja yang didapati menyalahgunakan kuasa telah diturunkan pangkat serta dikehendaki membayar ganti rugi. Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyebut jumlah bayaran ganti rugi yang perlu dijelaskan akibat kegiatan mencuri bekalan elektrik janakuasa nuklear tersebut.
Pihak berkuasa turut merampas dua unit komputer yang digunakan untuk menjalan kegiatan tersebut. Salah sebuah komputer berkenaan dilengkapkan dengan enam unit kad grafik AMD Radeon RX 470, manakala sebuah lagi menggunakan lima unit kad grafik model yang sama.
Pekerja-pekerja yang terbabit bagaimanapun didapati tidak menyambungkan unit-unit komputer melombong mereka dengan rangkaian janakuasa nuklear berkenaan. Justeru, membolehkan mereka dilepaskan dari pertuduhan membocorkan data-data sulit. Syarikat yang memiliki janakuasa berkenaan, EnergoAtom memaklumkan setakat ini tiada sebarang insiden pencerobohan siber dilaporkan.
Ini bukanlah kali pertama sumber tenaga janakuasa nuklear disalah gunakan untuk tujuan melombong kriptowang. Pada tahun 2018, sekumpulan jurutera di Russia telah ditahan kerana menyambungkan superkomputer kegunaan senjata nuklear ke internet untuk tujuan melombong kriptowang. Superkomputer berkenaan pada asalnya tidak dibenarkan langsung untuk disambungkan ke internet atas sebab-sebab keselamatan.
Sungguhpun harga kriptowang sentiasa berubah-ubah, ianya tidak menghalang sesetengah pihak untuk melombong matawang kriptowang ini. Pada masa ini, harga Bitcoin berada di sekitar RM41,000 hingga RM45,000.
Sumber berita diperoleh dari Telegraph













