Utama Telco U Mobile U Mobile nyatakan mampu tawarkan Perkhidmatan 5G tanpa melabur dalam DNB

U Mobile nyatakan mampu tawarkan Perkhidmatan 5G tanpa melabur dalam DNB

676
0
U Mobile 5G

Lanjutan dari laporan terkini berkenaan penolakan tawaran oleh Maxis dan U Mobile untuk mengambil pegangan di dalam Digital Nasional Berhad (DNB) baru-baru ini, U Mobile telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan pendirian semasanya.

Sungguhpun tidak menjadi salah satu pemegang saham di dalam rangkaian 5G borong tunggal negara, syarikat yang popular dengan warna jingga ini komited menyediakan perkhidmatan 5G. Para pelanggan juga dijangka bakal menikmati rangkaian 5G dari U Mobile tidak lama lagi.

U Mobile telah mengeluarkan satu kenyataan yang menunjukkan sokongan terhadap keputusan kerajaan dalam menggunakan model borong tunggal dalam pelaksanaan 5G di Malaysia. Pihak syarikat juga menzahirkan rasa terima kasih kerana dijemput untuk melabur di dalam DNB.

Selepas mengadakan pelbagai perbincangan dan mengambil kira pelbagai pertimbangan, U Mobile telah memutuskan untuk tidak meneruskan pilihan melabur di dalam DNB. Hal ini kerana, U Mobile berpendapat ia boleh digunakan untuk memberikan tumpuan terhadap kekuatannya menyediakan sambungan dan perkhidmatan digital yang inovatif dan terbaik.

U Mobile masih boleh menawarkan 5G di Malaysia dengan menandatangani perjanjian akses berasingan

U Mobile juga menjelaskan penolakan tawaran pegangan di dalam DNB ini tidak akan menjejaskan keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan 5G kepada para pelanggan. Menurut kenyataan media berkenaan, aksesk ke infrastruktur 5G DNB dikawalselia oleh perjanjian akses berasingan yang tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan ekuiti di dalam DNB.

Turut dinyatakan, U Mobile bersama-sama syarikat telekomunikasi lain masih lagi di dalam perbincangan bagi memuktamadkan perjanjian akses 5G di dalam DNB. Sebaik sahaja dimuktamadkan dan ditandatangani, pada pelanggan akan menikmati kedua-dua rangkaian 5G DNB dan juga rangkaian 4G U Mobile.

U Mobile juga yakin DNB mampu menepati jadual pelaksanaan rangkaian 5G seiring dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan rangkaian telekomunikasi mudah alih negara.

Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengesahkan dua buah syarikat telekomunikasi telah menarik diri dari tawaran pegangan ekuiti. Secara keseluruhan, empat syarikat telekomunikasi tempatan yang terdiri daripada Celcom, Digi, YTL Communications dan Telekom Malaysia telah bersetuju dengan penawaran tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.