Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah memperluaskan Sistem Pembayaran Terbuka ke 80 buah stesen di Lembah Klang dan laluan ke utara. Sistem yang menyokong pembayaran melalui Apple Pay, Samsung Pay, kad debit, kad kredit dan e-wallet ini dilancarkan di KTM Ipoh Square oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Pelancaran ini menandakan perubahan besar dalam pemodenan pengalaman penumpang dengan memudahkan pembayaran di pintu get automatik untuk perkhidmatan komuter. Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, KTMB juga berkongsikan Electric Train Service (ETS) akan mengekalkan sistem pembayaran tiket dalam taliannya.

Menteri Pengangkutan juga di dalam ucapannya menekankan kecekapan sistem tersebut dengan mengetengahkan transaksinya dapat dalam tempoh sekitar 1 hingga 5 saat, menandakan perubahan besar dalam penyampaian perkhidmatan.

Selain itu, KTMB juga membawakan program kesetiaan pelanggan melalui pelancaran program Rail Rewards bermula 1 Januari 2024. Skim kesetiaan ini memberikan ganjaran mata kepada penumpang untuk setiap tiket yang dibeli melalui Sistem Tiket Berintegrasi KTMB yang boleh ditebus untuk perjalanan yang akan datang. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pelanggan, malah dapat menggalakkan penggunaan perkhidmatan KTMB dan mempromosikan tabiat perjalanan lestari di kalangan rakyat Malaysia.

Tinggalkan komentar