Netflix telah dilaporkan telah meraih nilai sekitar $900 juta (~RM3.7 billion) hasil dari tayangan Squid Game. Angka ini telah dilaporkan oleh Bloomberg walaupun pada kebiasaannya data sulit ini tidak didedahkan kepada umum.
Menurut Bloomberg, jumlah yang dinyatakan tersebut tidak merujuk kepada hasil jualan siri tersebut. Hal ini kerana Netflix tidak menjual sesebuah rancangan secara langsung.
Ia menggambarkan cara unik Netflix menentukan sumbangan sesebuah rancangan berdasarkan jumlah pelanggan yang menontonnya.
Mengambil kira angka yang dinyatakan tersebut, ia merupakan sebuah pencapaian yang amat membanggakan. Tambahan lagi, kos pembikinan keseluruhan produksi Squid Game adalah sekitar $21.4 juta (~RM89 juta).
Kos berkenaan dianggap murah jika dibandingkan dengan penerbitan rancangan di Amerika Syarikat yang mana boleh meningkat antara lima hingga 10 kali ganda.
Laporan dari Bloomberg ini juga merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh karyawan filem dan televisyen di Amerika Syarikat yang selama ini ingin mengetahui berapakah jumlah yang diraih oleh Netflix.