Utama Android Sony Sony Xperia 1 III kini boleh dipra-tempah di Malaysia; Berharga RM 5,799

Sony Xperia 1 III kini boleh dipra-tempah di Malaysia; Berharga RM 5,799

593
0

Sony Xperia 1 III kini hadir ke pasaran Malaysia dan boleh dipra-tempah. Telefon pintar mercu keluaran Sony ini menampilkan paparan OLED 4K 120Hz dan cipset Snapdragon 888 5G.

Harga dan tarikh Sony Xperia 1 III pasaran Malaysia

Xperia 1 III secara rasminya berharga RM 5,799 di Malaysia dan harganya menyamai iPhone 12 Pro Max 256GB. Berbanding model Mark II, Mark III ini berharga RM 800 lebih tinggi.

Sony Malaysia turut menawarkan putik telinga nirwayar Sony WF-1000XM3 ANC bagi setiap pra-tempahan model telefon pintar ini yang mula dibuka dari hari ini 15 Julai sehingga 15 Ogos 2021.

Penghantaran akan dibuat bermula dari 20 Ogos 2021. Telefon pintar ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Hitam Berkabut dan Ungu Berkabut dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi kedai dalam talian rasmi Sony Store atau di Shopee Mall.

Spesifikasi Sony Xperia 1 III

Xperia 1 III menawarkan paparan OLED 4K HDR 6.5-inci 21:9 dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Selain dari menawarkan cipset mercu Snapdragon 888, telefon ini juga menyediakan RAM 12GB dan storan UFS 2.1 256GB dan boleh diperbesarkan sehingga 1TB melalui slot kad mikroSD.

Untuk fotografinya, terdapat tetapan tri-kamera dengan kesemua sensornya mempunyai 12MP dan disokong dengan sebuah lagi sensor 3D ToF bagi meningkatkan kecepatan fokus auto. Telefon ini juga menyediakan kamera telefoto yang mempunyai jarak fokal 70mm dan 105mm. Kedua-dua sensor utama dan telefoto mempunyai penstabil imej optikal (OIS) dan optik ZEISS bagi mengurangkan pantulan cahaya.

Selain itu, ia menyediakan pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm, tahap kerintangan debu dan air IP68, serta sokongan pengecasan nirwayar Qi. Untuk jangka hayat baterinya, Xperia 1 III mempunyai bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas USB-PD melalui USB-C.

Dalam pada masa yang sama, Sony Malaysia dijangka akan melancarkan Xperia 5 III dan Xperia 10 III tidak berapa lama lagi dengan harga masing-masing RM4,599 dan RM1,999.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.