Windows-10-RAM-Task-Manager-Resource-Monitor

Pada komputer Windows, anda kadangkala mungkin merasakan komputer anda menjadi amat perlahan dan aplikasi-aplikasi anda tergendala. Antara salah satu puncanya adalah sistem komputer anda sudah menggunakan kesemua memori capaian rawak (random access memori, RAM) yang ada.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu menambah kapasiti RAM komputer anda dengan segera. Masalah ini boleh berpunca dari isu yang terdapat pada sesetengah aplikasi.

Jika anda mengesyaki terdapat masalah pada sesetengah aplikasi yang memberi kesan terhadap RAM komputer anda, Windows 10 menyediakan dua kaedah untuk anda membuat pemeriksaan.

Semakan tahap penggunaan RAM pada Windows 10 boleh dibuat melalui alatan Task Manager dan Resource Monitor. Penggunaan dua alatan berkenaan, anda boleh menamatkan aplikasi tertentu untuk mengembalikan kestabilan sistem komputer anda.

Semakan penggunaan RAM melalui Task Manager

Untuk menentukan aplikasi apa yang paling banyak menggunakan RAM, ikuti langkah berikut:

  1. Buka Start
  2. Taipkan Task Manager dan buka aplikasi yang dipaparkan
    Tip pantas: Anda boleh juga membuka melalui klik kanan pada taskbar dan pilih Task Manager. Atau, anda juga boleh menggunakan kekunci pintas Ctrl + Shift + Esc. Terpulang pada anda untuk menggunakan apa cara sekalipun.
  3. Klik pada pilihan More details (jika di dalam mod kompak)
  4. Klik pada tab Processes.
  5. Klik pada pengatas Memory untuk menyusun tata susunan aplikasi mengikut penggunaan memori.
  6. Tentukan aplikasi mana yang paling banyak menggunakan memori dan tekan pada End Task untuk menutupnya.
    Nota: Sebaiknya anda tutup aplikasi yang tergendala atau menggunakan jumlah memori yang luar biasa banyak.

Setelah selesai menutup program yang dikesan bermasalah itu tadi, anda sepatutnya sudah mempunyai lebihan RAM untuk kegunaan aplikasi lain.

Semakan penggunaan RAM melalui Resource Monitor

Untuk membuat semakan penggunaan RAM yang digunakan oleh aplikasi, ikuti langkah berikut:

  1. Buka Start.
  2. Taipkan Resource Monitor dan buka aplikasi yang dipaparkan.
  3. Klik pada tab Memory.
  4. Klik pada pengatas Private (KB) untuk menyusun aplikasi berdasarkan penggunaan memori. (Maklumat dipaparkan dalam bentuk kilobyte).
  5. Tentukan aplikasi mana yang paling banyak menggunakan memori.
    Nota: Tidak seperti Task Manager, Resource Monitor hanya menyediakan nama proses sahaja. Misalnya, “msedge.exe” untuk “Microsoft Edge,” “MsMpEng.exe” untuk “Windows Defender Antivirus” dan sebagainya. Alatan ini juga hanya boleh menamatkan satu atau tiga proses dalam satu-satu masa. Ini bermakna, untuk menamatkan aplikasi, anda perlu menamatkan semua proses yang berkaitan (biasanya kesemuanya mempunyai nama yang sama).
  6. (Tambahan) Klik kanan pada aplikasi yang menggunakan memori yang besar dan pilih End Process untuk menamatkannya.

Anda dapat menentukan aplikasi mana yang menggunakan banyak RAM selepas selesai mengikuti langkah-langkah seperti yang dinyatakan.

Jika anda mempunyai masalah untuk menutup sesebuah aplikasi atau terdapat banyak proses yang menggunakan memori yang besar, melakukan restart juga boleh memulihkan kembali keadaan.

Bagaimanapun, anda perlu memahami tidak semua aplikasi yang menggunakan jumlah RAM yang besar itu bermasalah. Ada sesetengah aplikasi sememangnya menggunakan banyak RAM seperti aplikasi suntingan video dan foto (Photoshop, After Effects) dan permainan komputer.

Jika tiada pilihan lain kerana perlu menggunakan aplikasi-aplikasi sedemikian, langkah terbaik adalah anda perlu menaik taraf kapasiti RAM anda.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.