Samsung didapati tidak akan menyertakan kepala pengecas untuk Galaxy S21 di beberapa rantau pada pelancarannya awal tahun hadapan. Hal ini diketemukan oleh laman Technoblog menerusi pemfailan yang dibuat Samsung di ANATEL – badan persijilan di Brazil yang lebih kurang sama peranannya seperti SIRIM di Malaysia.
Desas-desus mengenai perubahan yang bakal dibuat oleh Samsung telah pun mula kedengaran sejak dari Julai lalu. Jika perkara ini benar-benar berlaku, Samsung mungkin diibaratkan menjilat ludah sendiri selepas mengejek Apple yang tidak menyertakan kepala pengecas untuk siri iPhone 12.
Ini bukanlah perkara pertama yang berlaku pada Samsung. Sebelum ini Samsung pernah mengejek Apple tidak menyertakan bicu fon kepala yang kemudiannya ia sendiri melakukan perkara yang sama pada Galaxy Note 10.
Oleh kerana fail persijilan untuk Galaxy S21 ini hanya untuk pasaran Brazil sahaja, tidak dapat dipastikan sama ada perkara yang sama akan berlaku di pasaran-pasaran rantau lain.
Samsung dijadualkan bakal melangsungkan acara pelancarannya, Unpacked, pada awal Januari ini. Dijangkakan lebih banyak lagi maklumat berkenaan peranti-peranti terkini Samsung akan menyusul dalam masa yang terdekat ini.