Utama Aksesori Jam Tangan Pintar Ulasan Samsung Galaxy Watch 7; Kini dengan Sensor BioActive dan Cip baharu

Ulasan Samsung Galaxy Watch 7; Kini dengan Sensor BioActive dan Cip baharu

78
0

Samsung telah berjaya menghasilkan sejumlah jam tangan pintar yang dioperasikan Android yang terbaik dan ia masih dikekalkan lagi menerusi Galaxy Watch 7 yang baharu dilancarkan. Sungguhpun terdapat sedikit kenaikan harga jualannya di Malaysia, jam tangan pintar ini kini sarat dengan kelebihan kecerdasan buatan Galaxy AI.

Galaxy Watch 7 merupakan jam tangan pintar yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri terutamanya di kalangan peranti-peranti dari pengeluar lain dalam segmen ini. Bagi anda pengguna Android yang ingin mendapatkan jam tangan pintar, Galaxy Watch 7 merupakan pilihan yang wajar untuk anda pertimbangkan.

Harga Galaxy Watch 7 di Malaysia

Di Malaysia, Galaxy Watch dijual pada harga RM1,199 untuk model 40mm dan untuk model 44mm pula harganya RM1,299. Terdapat peningkatan RM100 jika dibandingkan dengan Galaxy Watch 6 yang dilancarkan pada tahun lepas bagi kedua-dua model tanpa sokongan LTE ini.

  • Samsung Galaxy Watch 7 44mm (Bluetooth, Wifi & LTE) – RM1,599
  • Samsung Galaxy Watch 7 40mm (Bluetooth, Wifi & LTE) – RM1,499
  • Samsung Galaxy Watch 7 44mm (Bluetooth & Wifi) – RM1,299
  • Samsung Galaxy Watch 7 40mm (Bluetooth & Wifi) – RM1,199

Anda boleh mendapatkan Galaxy Watch 7 menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia.

Rekabentuk dan Spesifikasi

Jam tangan pintar yang menggunakan pemprosesan Samsung Exynos W1000 ini juga menampilkan paparan bulat Super AMOLED 1.3-inci beresolusi 432 x 432 piksel untuk model 40mm seperti unit ulasan yang kami terima ini. Ia dilindungi dengan kristal nilam (sapphire crystal) bersama-sama penarafan IP68 dan ATM, serta bateri berkapasiti 300mAh yang menyokong penggunaan sehingga 40 jam.

Rekaannya bersifat minimalis dan kelihatan tidak jauh berbeza dengan modelnya yang terdahulu. Ia tidak menjadi masalah pada pandangan saya kerana ciri-ciri praktikalnya masih lagi dikekalkan. Hanya tali jamnya sahaja yang berubah sedikit dengan menambahkan tanda garisan pendek biru dan oren pada kedua-dua sisinya.

Pengendalian antaramuka pada paparannya boleh dilakukan dengan cara sapuan (swipes) atau ketikan (taps) dengan turut dibantu dengan dua butang fizikal pada sisi kanannya.  Butang atas akan mengembalikan anda ke paparan utama (home) dengan butang bawahnya jika dipegang (hold) akan membuka Samsung Wallet.

Ringkas dan berguna

Berbanding dengan Galaxy Watch Ultra, jam tangan khusus untuk larian seperti Garmin atau Apple Watch Ultra 2, Galaxy Watch 7 dirasakan lebih mudah dikendalikan pada pergelangan tangan dan juga lebih ringan. Hal ini mungkin disebabkan saya sudah terbiasa dengan saiz skrin kecil 40mm seperti pada Galaxy Watch 6 Classic sebelum ini.

Bezanya, Galaxy Watch 7 tampil dengan rekaan moden tanpa bingkai berputar seperti yang ditawarkan pada model Classic. Anda masih boleh memutarkan secara haptik pada bahagian bingkai paparannya, namun ‘feel’ dia tidak sama seperti secara fizikal.

Kaedah melekapkan talinya (band) pada Galaxy Watch 7 masih lagi kekal sama seperti model pada tahun lepas. Ia dapat dilakukan dengan mudah dengan menekan pada tab di hujung tali untuk ditarik keluar jika ingin menggantikannya.

Pada permukaan belakangnya kita akan dapat melihat Bioactive Sensornya akan akan memberikan ukuran bacaan yang tepat. Untuk model tahun ini, LED dan sensornya kelihatan lebih banyak berbanding sebelumnya. Untuk mengecaskannya, tapak pengecasnya masih lagi sama seperti tahun lepas. Anda boleh menggunakan jenis dari model sebelum ini seperti Galaxy Watch 6 atau Watch 6 Classic.

Spesifikasi

Saiz Samsung Galaxy Watch 7 (40mm)Samsung Galaxy Watch 7 (44mm)
CipsetSamsung Exynos W1000 dengan RAM 2GBSamsung Exynos W1000 dengan RAM 2GB
PerisianWearOS 5 dengan Samsung One UI 6WearOS 5 dengan Samsung One UI 7
Ukuran40.4mm x 40.4mm x 9.7mm44.4mm x 44.4mm x 9.7mm
Berat28.8g33.8g
Paparan1.3-inch Super AMOLED Always-On display1.4-inch Super AMOLED Always-On display
BadanArmor AluminumArmor Aluminum
GPSGPS L1+L5, Glonass, Beidou, GalileoGPS L1+L5, Glonass, Beidou, Galileo
Bateri300mAh425mAh
KetersambunganBluetooth 5.3 dan Wi-Fi dengan pilihan LTEBluetooth 5.3 dan Wi-Fi dengan pilihan LTE
Ketahanan5ATM + IP68 / MIL-STD-810H5ATM + IP68 / MIL-STD-810H
HargaDari RM1,199Dari RM1,299

Perisian dan ciri sokongan Galaxy AI

Salah satu ciri yang perlu diketengahkan pada Galaxy Watch 7 – Galaxy AI yang melibatkan penggunaan algoritma kecerdasan buatan (AI) untuk analisis tidur dan kesihatan. Jam tangan pintar ini mampu memberikan gambaran yang diperibadikan dan pengalaman kesihatan yang disesuaikan.

Selain itu, Samsung juga mengetengahkan gestur Double Pinch pada Watch 7 yang boleh digunakan untuk menjawab panggilan, mengabaikan pemberitahuan, mengambil foto dan juga membuka aplikasi.

Selepas menggunakan Galaxy Watch 7 dalam tempoh beberapa minggu yang lalu, apa yang menarik perhatian saya adalah pada sejumlah data yang mampu dikumpulkan oleh jam tangan pintar ini. Ia berupaya melakukannya dengan BioActive Sensor yang baharu diperkenalkannya. Sama ada kualiti tidur, tahap aktiviti senaman mahupun komposisi tubuh Galaxy Watch 7 mampu mendapatkan data tersebut. Ia juga dapat memberikan analisis yang mudah difahami.

Analisis tidur merupakan antara yang mencuri tumpuan saya dengan ukuran kualiti tidur saya berdasarkan beberapa faktor yang diambil kira. Antaranya kadar nadi, suhu pada permukaan kulit, peringkat-peringkat tidur dan banyak lagi. Data-data ini boleh didapati di dalam aplikasi Samsung Health, dan menggunakan Galaxy AI ia boleh menjana markah tenaga harian bagi membantu anda menilai tahap tenaga dalam sesuatu hari.

Galaxy Watch 7 juga menarik untuk digunakan bagi merekodkan aktiviti senaman dan tahp kecergasan saya. Jam tangan pintar ini mampu merekodkan pelbagai jenis senaman termasuk sukan mendaki tembok. Ia berupaya mengambil ukuran kadar nadi maksimum sepanjang aktiviti senaman dan juga jumlah kalori yang dibakar.

Untuk analisis komposisi badan (body composition), ia mampu memberikan pandangan untuk otot rangka saya, jisim lemak, peratusan lemak badan, BMI dan juga peratusan air tubuh. Sungguhpun ciri-ciri ini tidak boleh digunakan bagi tujuan diagnostik, data-data ini masih lagi berguna untuk merekodkan kemajuan kecergasan. Ia juga merupakan motivasi yang lebih bermakna bagi diri saya sendiri dari sekadar kata-kata semangat.

Prestasi penggunaan

Penggunaan Galaxy Watch cemerlang apabila digunakan bersama-sama telefon pintar Galaxy kerana ia direkabentuk untuk digunakan secara bersama-sama termasuk ciri-ciri kesihatan AI baharu. Malah, aplikasi Samsung Health juga diintegrasikan dengan amat mendalam pada semua peranti-peranti Samsung ini.

Pengendaliannya juga tangkas untuk apa jua aplikasi-aplikasi yang disokongnya seperti ketika ingin melihat Energy Score, pencapaian harian, menelusuri mesej-mesej dan juga kawalan main semula muzik.

Penggunaan BioActive Sensor baharu pula didapati mampu memberikan nilai bacaan yang setanding dengan jam tangan pintar lain. Ia dibezakan pada tahap perincian yang disediakan dan penerangan bagi setiap statistik yang dipaparkannya.

Cuma hayat baterinya sahaja sedikit mengecewakan kerana untuk menggunakannya bagi tujuan merekodkan tidur, anda perlu mengecaskannya pada setiap hari. Tambahan pula penggunaan ciri AI baharu seperti Energy Score memerlukan penggunaan yang konsisten untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Untuk model 40mm ini ia disediakan dengan bateri berkapasiti 300mAh.

Saya mengharapkan dengan kemaskini baharu yang diperkenalkan kelak, ia mampu memanjangkan tempoh penggunaan baterinya setidaknya lebih dari satu hari satu malam.

Kesimpulan

Jalinan integrasi mendalam dengan Samsung Health dan peranti Galaxy menjadikan Galaxy Watch 7 ini jam tangan pintar yang paling sesuai untuk melengkapkan pengalaman kecergasan digital anda. Penggunaannya juga lebih menyeluruh apabila digunakan secara bersama-sama ciri-ciri sokongan berasaskan baharu yang diperkenalkannya.

Anda tidak perlu berbelanja besar pada harga seperti Galaxy Watch Ultra untuk menerima manfaat pelbagai ciri-ciri merekodkan aktiviti kecergasan dan kesihatan anda. Segala ciri-ciri tersebut telah tersedia di dalam Galaxy Watch 7 ini bagi membantu anda meningkatkan mutu kehidupan harian anda dengan aktiviti-aktiviti sihat.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.