Samsung telah mempertontonkan fungsi memindahkan chat WhatsApp dari iPhone ke telefon Samsung Galaxy baharu menerusi acara Galaxy Unpacked. Pada asalnya, fungsi ini hanya ditawarkan kepada siri Galaxy Z baharu sahaja sebelum diperluaskan ke seluruh telefon Samsung Galaxy.
Fungsi pemindahan ini masih lagi mengekalkan enkripsi hujung-ke-hujung dan memindahkan keseluruhan sejarah chat.
Ia merangkumi maklumat peribadi, nota suara, media, foto, tetapan dan foto profil anda dari iPhone ke Samsung Galaxy baharu anda. Bagaimananpun, sejarah panggilan tidak dapat dipindahkan bersama.
Cara melakukannya, anda memerlukan seutas kabel USB-C ke Lightning (atau dengan adapternya) untuk menghubungkan kedua-dua peranti tersebut.
Ia tidak dapat dilakukan secara awanan memandangkan WhatsApp menggunakan format sandaran awanan yang berbeza untuk Android dan iOS. Tambahan pula, enkripsi pada peranti juga menyukarkan lagi pemindahan data secara awanan dapat dilakukan. Pemindahan melalui kabel ini juga dapat menjamin keselamatan data-data anda.
Cara memindahkan sejarah sembang dari iPhone ke Samsung Galaxy baharu
Ikuti langkah berikut untuk melakukan migrasi sejarah chat WhatsApp dari iPhone ke Samsung Galaxy.
- Hidupkan telefon Samsung Galaxy baharu anda dan sambungkannya dengan iPhone melalui kabel apabila diberitahu.
- Ikuti langkah dari aplikasi Samsung Smart Switch.
- Apabila diminta, imbas kod QR yang dipaparkan pada peranti baharu dari kamera iPhone anda.
- Ketik Start pada iPhone dan tunggu sehingga proses berkenaan selesai.
- Teruskan menjalankan konfigurasi pada telefon Samsung anda
- Apabila anda berada di skrin utama, bukan WhatsApp dan log masuk menggunakan nombor telefon yang sama anda gunakan pada iPhone.
- Ketik Import apabila diminta dan tunggu sehingga proses selesai.
- Sebaik selesai, anda akan menerima kemasukan chat-chat baharu pada Samsung Galaxy anda.
Pastikan anda memenuhi beberapa kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan sebelum anda memulakan fungsi tersebut.
- Peranti Android anda mesti baharu atau selepas direset ke tetapan kilang (factory reset).
- Aplikasi Samsung SmartSwitch versi 3.7.22.1 dan ke atas pada peranti baharu.
- WhatsApp Android Versi 2.21.16.20 dan ke atas pada peranti baharu
- WhatsApp iOS versi 2.21.160.17 dan ke atas pada peranti lama
- Nombor telefon yang sama pada peranti baharu dan lama.