Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy A34 5G; Telefon Pintar yang berbaloi

Ulasan Samsung Galaxy A34 5G; Telefon Pintar yang berbaloi

836
0
Samsung Galaxy A34 5G

Tahun lepas, melalui Galaxy A33 5G Samsung telah menawarkan sebuah telefon pintar yang antara terbaik dari segi nilai dan harganya di pasaran pada ketika itu. Kini, untuk tahun 2023 Samsung telah memperkenalkan Galaxy A34 5G sebagai kesinambungan dari model tersebut.

Sama ada ia mampu meneruskan lagi kesinambungan tersebut atau tidak, kita akan menelitinya dengan lebih lanjut di dalam artikel ini.

Secara ringkasnya, Galaxy A34 5G menawarkan beberapa penambahbaikan berbanding model terdahulu, melalui:

  • Paparan skrin yang lebih baik
  • Rekaan mirip model telefon pintar mercu
  • Bateri yang dioptimasikan dengan lebih baik melalui pemprosesan jenis jimat tenaga
  • Bluetooth 5.3

Harga Galaxy A34 5G di Malaysia

Galaxy A34 5G dan Galaxy A54 5G Pilihan WarnaDi Malaysia hanya satu konfigurasi sahaja di jual iaitu RAM 8GB, dan storan dalaman 256GB bersama-sama bateri berkapasiti 5,000mAh dengan harga RM1,599.

  • Galaxy A34 5G; RAM 8GB, storan 256GB – RM1,599

Anda boleh membuat pembelian melalui eStore Samsung Malaysia dan berpeluang menerima Galaxy Buds Live secara percuma bagi setiap pembelian. Anda juga boleh membeli adapter-adapter terpilih pada harga diskaun 30% dari kedai dalam talian berkenaan.

Pembelian juga boleh dibuat menerusi Samsung Experience Store dan wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Galaxy A34 5G telah mula dilancarkan ke pasaran Malaysia bermula 7 April ini.

Spesifikasi Samsung Galaxy A34 5G

  • Cipset: MediaTek Dimensity 1080 MT6877V
  • Skrin: 6.6-inci Super AMOLED, 120Hz
  • RAM: 8GB
  • Storan: 128GB, 256GB
  • Bateri: 5,000mAh
  • Port: USB-C
  • Kamera depan: 13MP
  • Kamera belakang: 48MP f/1.8 OIS, Autofocus (utama), 8MP f/2.2 (ultralebar), 5MP f/2.4 (makro)
  • Ketersambungan: Wi-Fi 6, Bluetooth 5.3, LTE, 5G (sub-6GHz)
  • Ukuran: 161.3 x 78.1 x 8.2 mm
  • Warna: Lime, Graphite, Violet, White
  • Berat: 199 g
  • Pengecasan: Berwayar 25W
  • Penarafan IP: IP67
  • Harga: RM1,599
  • Sokongan kad mikroSD: Ada

Reka bentuk

Samsung Galaxy A34 5G (3)Reka bentuk luarannya mempunyai asas yang sama seperti Galaxy A54 5G, dan juga siri Galaxy S23 melalui ciri modul-modul kamera yang membonjol keluar. Tidak mustahil mungkin ada sesetengah pengguna yang menyangka ia merupakan salah satu model Galaxy S23 jika dilihat dari jauh.

Warna-warna yang ditawarkan untuk model kali ini tidak jauh beza dengan apa yang ditawarkan oleh Galaxy A54 5G iaitu:

  • Awesome Violet
  • Awesome Lime
  • Awesome Silver
  • Awesome Graphite

Untuk ulasan kali ini, kami menerima unit ulasan telefon pintar ini yang berwarna Awesome Silver. Berbanding pilihan warna lain untuk model ini, pada pandangan saya, Awesome Silver merupakan warna yang paling menyerlah dan unik.

Apa yang membezakan antara Galaxy A34 5G dengan Galaxy A54 5G adalah pada kemasan matte permukaan yang diperbuat daripada plastik di belakangnya.

Kerangka telefon pintar ini juga diperbuat daripada plastik, namun rekaannya diadun dengan baik bagi memberikan rupa yang kelihatan lebih premium. Permukaan di sekelilingnya lebih bersegi dengan lengkungan kecil pada bucunya bagi memberikan lebih keselesaan apabila memegangnya.

Dari segi kelasakan, Samsung masih mengekalkan penarafan IP67 sebagaimana yang terdapat pada model sebelum ini bersama-sama perlindungan kaca Corning Gorilla Glass 5 untuk skrinnya.

Skrin

Samsung Galaxy A34 5G (1)Samsung Galaxy A34 5G didatangkan dengan paparan skrin yang menakjubkan bagi sesebuah telefon pintar pada harga yang seangkatan dengannya. Penambahbaikan yang merupakan paling ketara jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini menawarkan resolusi 2400 x 1080 piksel bersama-sama kadar penyegaran semula 120Hz.

Selain itu, Samsung juga menyediakan teknologi Vision Booster pada telefon pintar ini bagi membolehkannya mencapai kecerahan maksima 1,000 nits. Sesuatu yang biasanya disediakan pada model telefon pintar yang lebih tinggi harganya.

Menurut Samsung, Vision Booster membantu mengekalkan tahap kejituan warna dalam seluruh keadaan kecerahan paparan. Ini bermakna warna yang dipaparkannya sepatutnya kekal tepat dalam pelbagai tahap kecerahan.

Walaubagaimanapun, skrin telefon pintar ini tidak menyokong HDR10+. Untuk fungsi imbasan cap jari pula, saya mendapati ia agak lambat untuk mengesan cap jari di atas skrinnya. Hal ini agak janggal mengambil kira betapa lancar dan mudah mengendalikan telefon pintar ini dari segi lain.

Namun begitu, pada keseluruhannya Galaxy A34 5G masih lagi memberikan kepuasan dari segi penggunaannya sepanjang tempoh ulasan kami.

Kamera

Samsung Galaxy A34 5G (2)Sistem kamera di antara Galaxy A34 5G dengan Galaxy A33 5G pada tahun lepas hampir tiada perbezaan antara kedua-duanya. Menerusi model ini, sistem kameranya hadir dengan satu kamera utama 48 MP f/1.8 OIS, kamera ultra lebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 5MP f/2.4. Pada sebelah hadapannya pula terdapat satu kamera 13MP f/2.2.

Apa yang membezakan sistem kamera ini dengan keluaran tahun lepas adalah ketiadaan kamera berkedalaman. Tanpa kamera tersebut sebenarnya tidak menjejaskan pengalaman kepenggunaannya memandangkan tidak semua pengguna memanfaatkannya jika disediakan.

Kamera utama 48MP bagi Galaxy A34 5G ini mampu menghasilkan imej yang bagus sesuai dengan tarafnya. Kejituan imejnya amat wajar dengan julat dinamiknya bersesuaian. Seperti biasa, pemprosesan imej dari telefon Samsung akan menghasilkan imej dengan warna yang terlebih tumpat dengan kontrasnya dinaikkan sedikit untuk menaikkan serinya.

Kamera ultra-lebar pula tidak begitu cemerlang dari segi kejituan dan kadangkala warnanya menjadi lebih tumpat berbanding kamera utama. Pun begitu ia masih memadai untuk digunakan dan dikongsikan menerusi platform media sosial.

Aplikasi kamera padanya turut menyediakan pilihan zum 2x secara digital berdasarkan sensor kamera utama 48MP padanya. Ia mampu menghasilkan imej yang baik sungguhpun zum yang dilakukannya adalah secara digital.

Dalam keadaan kurang pencahayaan, kamera-kamera ini bagaimanapun tidak mampu menghasilkan imej yang baik. Terdapat banyak kesan hingar (noise) dengan kejituannya juga merosot. Oleh itu, jika anda inginkan kualiti foto yang lebih baik menggunakan Galaxy A34 5G, anda perlu mendapatkan pencahayaan yang bagus untuk subjek fotografi anda.

Seterusnya, kamera makro 5MP yang disediakannya juga mampu memberikan hasil foto dengan kualiti yang baik. Kira boleh la buat ‘share-share’ kat dalam Instagram.

Untuk swafoto pula, Galaxy A34 5G juga memberikan hasil yang bagus untuk Portrait Mode dengan mengkaburkan imej di latar belakang dan mengetengah subjek melalui kamera hadapannya 13MP.

Keupayaan merakam video bukanlah kekuatan utama Galaxy A34 5G ini. Pun begitu, kualiti rakaman sehingga 1080p pada 30 fps dan juga 60 fps, serta 4K turut ditawarkan untuk telefon pintar ini.

Penukaran antara kamera utama dengan ultra-lebar dapat dilakukan, namun tidak begitu lancar. Untuk penukaran dari kamera utama kepada zum 2x kali pula bagaimanapun dapat dilakukan dengan lebih lancar. Rakaman berkualiti 1080p pada 60 fps didapati perlu dilakukan dengan bantuan cagak (stands) untuk mengurangkan kesan gegaran.

Fungsi OIS pada kamera-kamera telefon pintar ini dapat dimanfaatkan dengan baik untuk rakaman pada kadar yang lebih rendah dari 60 fps berkenaan. Rakaman berkualiti 4K juga didapati mempunyai isu yang sama melibatkan gegaran tersebut.

Prestasi

Penggunaan Galaxy A34 5G sepanjang tempoh ulasan ini saya dapati berjalan dengan lancar secara keseluruhannya. Baik menelurusi UI atau melayari laman web dan media sosial, telefon pintar ini mengendalikannya dengan amat baik. Beberapa permainan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti Apex Legends dan Wild Rift juga dapat diuruskan olehnya.

Namun, pemprosesan MediaTek Dimensity 1080 yang digunakannya bukanlah pemprosesan bertaraf mercu. Oleh itu, anda perlu merendahkan tahap kualiti grafiknya untuk kepermainan yang lebih lancar bagi mengelakkan lag.

Perisian

Galaxy A34 5G merupakan salah satu telefon pintar Samsung paling mesra bajet yang didatangkan dengan perisian Android 13 dan antaramuka Samsung One UI 5.1. Seperti biasa, perisian untuk telefon pintar Samsung ini menawarkan pelbagai penambahbaikan estetik seperti pemperibadian skrin berkunci dan aplikasi Settings yang baharu.

Selain itu, beberapa penambahbaikan yang lebih praktikal seperti kawalan pembesar-pembesar suara secara Wi-Fi, sokongan AI yang lebih baik untuk kamera, penambahan Modes and Routines baharu dan sebagainya.

Satu lagi penawaran yang bagus untuk telefon pintar ini adalah sokongan perisian yang diberikan oleh Samsung yang sama seperti yang ditawarkan pada telefon pintar mercunya yang lain. Galaxy A34 5G juga menerima kemaskini naik taraf sistem operasi Android OS untuk empat tahun dan kemaskini keselamatan untuk lima tahun. Makna kata, Galaxy A34 5G dijangka mampu menerima kemaskini sehingga Android 16.

Android16 Calm GIF - Android16 Calm Dragon Ball Z - Discover & Share GIFs
‘Android 16’

Bateri dan Pengecasan

Galaxy A34 5G didatangkan dengan kapasiti yang sama seperti kebanyakan telefon pintar Samsung sekarang ini, 5,000mAh. Bersama-sama pemprosesan yang jimat tenaga, MediaTek Dimensity 1080, telefon pintar ini sememangnya mampu bertahan digunakan sehingga dua hari. Sesuai untuk digunakan dalam perjalanan yang panjang seperti pulang ke kampung halaman.

Cuma, baterinya yang berkapasiti 5,000mAh ini hanya menyokong pe

ngecasan pantas sehingga 25W sahaja. Anda perlu mengambil masa yang lebih dari sejam untuk mengecaskan dari 0 hingga 100%. Selain itu, sama seperti Galaxy A54 5G, telefon pintar ini juga tidak menyediakan sokongan pengecasan nirwayar.

Kesimpulan

Galaxy A34 5G menawarkan penambahbaikan yang penuh bermakna berbanding model terdahulu dengan mengurangkan bahagian yang kurang penting sambil memberi peningkatan yang sewajarnya bersesuaian dengan harganya.

Kekuatan utama telefon pintar ini pastinya pada jangka hayat bateri yang tahan lebih lama dan tempoh sokongan perisian yang panjang. Oleh itu, telefon pintar ini sesuai untuk anda yang inginkan telefon pintar dengan sokongan perisian jangka panjang pada harga yang rasional.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.