Utama Android Samsung Siri Samsung Galaxy A dilancarkan dengan Harga bermula dari RM1,199

Siri Samsung Galaxy A dilancarkan dengan Harga bermula dari RM1,199

102
0

Samsung secara rasminya telah mengumumkan harga siri Galaxy A baharu untuk tahun 2025. Bermula dari hari ini, anda boleh membuat pra-tempahan Galaxy A56 5G, A36 5G dan A26 5G dari semua kedai-kedai Galaxy dan wakil-wakil pengedar yang sah.

Model tertinggi di dalam siri ini, Galaxy A56 5G menampilkan pemprosesan Samsung Exynos 1580 yang membawakan peningkatan prestasi yang ketara dari model sebelumnya. Telefon pintar ini menampilkan paparan Super AMOLED 6.7-inci beresolusi Full HD+, kecerahan puncak 1,900 nits, dan perlindungan Gorilla Glass Victus+. Rekaannya juga lebih nipis pada 7.4mm dengan menyerlahkan modul kamera yang lebih murni tanpa bonggol yang terlalu ketara.

Pemprosesan Exynos 1580 hadir dengan sebuah CPU 2.9GHz, GPU berasaskan AMD dengan WGP 2x, dan sebuah NPU dengan 14.7 TOPS, menghasilkan peningkatan prestasi 37% berbanding model terdahulu. Model yang mempunyai RAM 8GB ini juga boleh didapati dengan pilihan warna Awesome Lightgray, Awesome Graphite, Awesome Olive, dan Awesome Pink.

Sistem pengurusan termal bertaraf mercu

Seterusnya, Galaxy A36 5G menggunakan pemprosesan Snapdragon 6 Gen 3, menandakan perubahan dari penggunaan Exynos dan Dimensity pada model-model terdahulu. Samsung juga melengkapkannya dengan kebuk pengewapan yang lebih besar, menyamai dengan apa yang ada pada Galaxy S24+ untuk pengurusan termal yang lebih baik. Telefon pintar ini hadir dengan konfigurasi memori RAM 6GB dan storan 128GB, serta pilihan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB.

Sama seperti Galaxy A56 5G, A36 5G mempunyai paparan Super AMOLED FHD+ dan kecerahan puncak 1,900 nits. Sistem kameranya pula mengandungi kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS, kamera ultra lebar 8MP f/2.2, dan kamera makro 5MP f/2.4. Kamera hadapannya telah dinaik taraf kepada 12MP, manakala kualiti rakaman video HDR (10-bit sehingga 4K pada 30fps) kini tersedia pada kedua-dua belah kamera-kameranya.

Akhir sekali, Galaxy A26 5G dikuasakan oleh pemprosesan Exynos 1380 yang sebelum ini digunakan pada Galaxy A35. Berbeza dengan Galaxy A36, A26 tidak mempunyai kebuk pengewapan untuk penyejukan. Kamera hadapannya kekal dengan sensor 13MP tanpa sokongan video HDR. Kamera belakangnya pula mengandungi kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP.

Harga Galaxy A56 5G, Galaxy A36 5G dan Galaxy A26 5G di Malaysia

Harga siri Galaxy A bermula dari RM1,199 untuk Galaxy A26 5G, RM1,499 untuk Galaxy A36 5G dan RM1,999 untuk Galaxy A56 5G. Samsung menjanjikan enam tahun kemaskini keselamatan dan enam kali kemaskini sistem operasi untuk ketiga-tiga model ini.

Untuk pilihan warnanya, Galaxy A36 5G didatangkan dengan Awesome Lavender, Awesome Black, Awesome White, dan Awesome Lime. Manakala Galaxy A26 5G pula boleh didapati di dalam pilihan Black, Mint, dan Peach Pink. Siri Galaxy A keluaran tahun 2025 ini akan mula dijual di Malaysia pada 18 Mac 2025.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.