Samsung dilaporkan sedang membangunkan empat sensor kamera mercu dengan salah satunya mempunyai kapasiti 440MP, menurut sumber dalaman oleh Revegnus (@Tech_Reve).
Perkongsiannya di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mendedahkan empat sensor berkenaan merupakan GN6 50MP, HP7 200MP, satu sensor 320MP yang tidak dinamakan dan HU1 440MP.
Pentiris maklumat berkenaan juga menyatakan tidak semua sensor berkenaan akan digunakan pada peranti Galaxy S mahupun pada mana-mana telefon pintar. Kemungkinan juga ia akan digunakan di dalam industri lain.
Dijangkakan, industri seperti automotif mungkin menjadi salah satu industri yang menggunakan sensor kamera seperti HU1 440MP. Lain-lain sensor yang dinyatakan tadi pula mungkin akan ke kamera telefon pintar.
Terutamanya kamera HP7 200MP dan GN6 50MP yang mempunyai saiz sebesar 1-inci mungkin akan digunakan di dalam telefon pintar dalam masa yang terdekat ini.