Telefon pintar Samsung yang agak lama tertangguh pelancarannya, Samsung Galaxy S21 FE kini dijangka akan dilancarkan secara rasminya pada bulan depan bersempena acara Consumer Electronics Show (CES) 2022.
Menjelang hari acara tersebut, semakin banyak maklumat mengenai telefon berkenaan mula diperolehi. Antaranya, imej pengolokan rasmi Samsung Galaxy S21 FE telah muncul di arena web menerusi laman web rasmi Samsung Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bersama-sama dengannya, turut disenaraikan tiga produk lain yang berkaitan dengan telefon berkenaan yang dilihat sebagai bekas pelapik (casing) rasminya. Penawarannya mirip dengan yang biasa ditawarkan pada telefon-telefon premium Samsung lain iaitu Clear View Cover, Silicone Cover, dan Clear Standing Cover.
Menerusi imej pengolokan tersebut juga menunjukkan rekaannya sama seperti yang tertiris sebelum ini. Rekaannya kelihatan hampir sama dengan Samsung Galaxy S21 yang asal.
Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, telefon berkenaan dikatakan hadir dengan paparan Full HD+ 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia akan dikuasakan oleh Snapdragon 888 atau Exynos 2100, bergantung pada pasaran di mana ia dijual.
Untuk memori dan storan pula, terdapat dua pilihan iaitu RAM 8GB dengan storan dalaman 128GB dan RAM 8GB dengan storan dalaman 256GB. Ia juga dikatakan akan hadir dengan bateri berkapasiti 4,380mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Telefon dengan antaramuka Samsung OneUI 3.1 berasaskan Android 11 ini juga dikatakan akan menampilkan kamera utama 64MP. Kamera tersebut juga akan bergandingan bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP dan kamera berkedalaman 2MP. Tidak ketinggalan, kamera hadapannya mempunyai sensor 32MP.













