Pembersih daftar (registry cleaner) tidak akan melajukan komputer Windows anda. Hanya buang masa dan juga buang duit bagi yang membeli perisian berkenaan. Silap-silap haribulan, boleh timbul masalah lain pula jika cleaner berkenaan tersilap membuang masukan daftar (registry entries) yang tidak sepatutnya.

Perisian-perisian pembersih daftar ni mengarut je sebenarnya. Apa yang dilakukan olehnya tidak menyumbang apa pun untuk melajukan PC anda. Ramai yang sangkakan perisian ini dapat melajukan PC dengan hanya sekali klik sahaja.

Padahal, daftar Windows (Windows registry) merupakan sebuah pangkalan data besar yang mengandungi pelbagai tetapan, khusus untuk Windows dan program-program yang dipasang oleh pengguna. Misalnya, jika anda memasang sesebuah program, besar kemungkinan program berkenaan akan menyimpan tetapannya ke daftar Windows. Windows juga menyimpan petunjuk-petunjuk (pointers) ke program masing-masing. Macam default program untuk sesebuah jenis fail. Windows akan simpan masukan bagi daftar program berkenaan supaya Windows dapat ingat bahawa ia adalah default program untuk buka fail-fail berjenis tertentu.

Jika anda menyahpasang (uninstall) sesebuah program, besar kemungkinan entri-entri daftar berkenaan akan ditinggalkan di dalam PC tersebut. Ia akan berkekalan sehinggalah Windows di dalam PC berkenaan dipasang semula (reinstall), di’bersih’kan dengan registry cleaner atau dibuang secara manual.

Apa yang registry cleaner lakukan hanyalah mengimbas entri-entri daftar yang sudah lapuk dan akan membuangnya. Tapi, syarikat-syarikat registry cleaner ini biasanya akan ‘claim’ perisian mereka mampu menjadikan komputer anda lebih laju.

Registry cleaner tak boleh buat apa-apa pun jika registry komputer anda menjadi corrupted. Apa yang kita pengguna biasa mampu lakukan adalah guna System Restore dan bertawakkal aje lah harap komputer anda tu boleh pulih seperti sedia kala sebelum registry anda tu menjadi ‘corrupted’.

Hakikat Sebenar Daftar Windows (Windows Registry)

Natijahnya, masukan daftar (registry entries) tidak memberi kesan pun terhadap prestasi keseluruhan PC anda. Saiznya pun tidaklah besar mana walaupun jumlah keseluruhannya mampu mencecah hingga ratusan ribu. Kalau anda buang seribu registry sekalipun, anda tak akan sedar perbezaan pada saiz keseluruhannya.

Lainlah kalau RAM komputer anda tu kecik dan hard disknya pula slow gila babi. Bezanya tu mungkin dapat dirasakan selepas anda mem’bersih’kan registry. Tapi kita bercerita tentang komputer Windows 7, 8 dan 10 yang biasa kita gunakan zaman ini dan bukannya komputer di era Windows 95 dulu. Registry Windows hari ini jauh lebih lasak dan canggih seiring dengan perubahan yang dialami oleh sistem operasi Windows itu sendiri.

Tambahan pula, jika registry cleaning ini benar-benar mampu mempertingkatkan kelajuan komputer, sudah pasti akan wujud penanda arasnya (benchmark) sendiri. Sebagaimana penanda aras perisian dan perkakasan lain seperti kewujudan 3D Mark bagi menilai tahap keupayaan grafik.

Cuma, saya tidaklah sepnuhnya mengatakan registry cleaner ini langsung tidak berguna. Ianya boleh berguna dalam sesetengah keadaan yang mana amat-amat jarang berlaku.

Misalnya menu konteks (context menu) yang sudah tidak wujud kerana programnya telah dibuang hingga boleh membuatkan Windows Explorer sedikit lembab untuk memaparkannya. Oleh itu, apabila registry bagi program berkenaan telah dibuang melalui registry cleaner, maka masalah lembab untuk memaparkan menu konteks pada Windows Explorer boleh diselesaikan.

Itu salah satunya lah. Tapi, masalah-masalah macam tu sangat jarang berlaku. Anda tak perlu pun nak kena buat ‘pembersihan’ registry setiap seminggu sekali macam kompeni registry cleaner tu sarankan. Buang masa korang je.

Kalau komputer korang dah lembab sangat, banyak cara lain yang perlu dilakukan selain dari ‘membersihkan’ registry. Antaranya adalah memasang semula (reinstall) Windows pada PC anda. Lain-lain tu, mungkin perlu saya terangkan pada artikel yang lain pula.

Tinggalkan komentar