Redmi Note 7 dijadualkan bakal memasuki pasaran Malaysia bermula 19 Mac 2019 ini. Maklumat ini adalah berdasarkan imej yang dikongsikan laman Facebook rasmi DirectD, salah satu pengedar telefon-telefon pintar dan gajet elektronik utama di Malaysia.
Berdasarkan spesifikasi awal yang diberikan, Redmi Note 7 dilengkapi dengan pemprosesan cipset Snapdragon 660 bersama-sama RAM sehingga 6GB dan storan dalaman sehingga 64GB.
Telefon pintar bersaiz skrin 6.3-inci dengan paparan bertakuk ini turut menawarkan kamera utama dengan tetapan dwi-kamera yang menggabungkan 48MP dan 5MP. Tidak ketinggalan, bicu audio masih lagi ditawarkan untuk telefon pintar model ini sungguhpun kini terdapat trend yang mana telefon pintar tidak disediakan bicu audio. Bekalan kuasa untuk telefon pintar ini ditampung oleh baterinya yang berkapasiti 4,000mAh.
Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak Xiaomi berkenaan penawaran Redmi Note 7 bagi pasaran Malaysia.
Sumber maklumat diperoleh dari DirectD