Xiaomi telah mengumumkan sebuah lagi peranti Redmi baharu melalui 14C 5G, varian 5G untuk model telefon pintar Redmi 14C keluaran tahun lepas. Sungguhpun terdapat perbezaan pada pemprosesan yang ditambahbaik dan pengurangan pada kamera hadapannya, telefon pintar ini secara kasarnya masih lagi sama dengan varian 4G siri ini.
Redmi 14C 5G menampilkan paparan LCD yang sama 6.88-inci beresolusi 720p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 600 nits. Di dalamnya, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2 berbanding MediaTek pada model 4G. Ia digandingkan dengan RAM 6GB dan storan 128GB bersama-sama slot kad mikroSD.
Dari segi fotografi ia menampilkan kamera utama 50MP dan sensor berkedalaman pada bahagian belakangnya dengan bahagian hadapannya kamera 8MP. Baterinya pula berkapasiti 5,160mAh dengan sokongan pengecasan 18W.
Selain itu, telefon pintar peringkat pemula ini juga didatangkan dengan pengimbas cap jari, penarafan IP52, dan sokongan ketersambungan 5G, Wi-Fi 5, Bluetooh dan bicu audio 3.5mm.
Redmi 14C 5G didatangkan dengan tiga warna pilihan dan dijual pada harga bermula dari INR10,000 (~RM525) di India. Hadir dengan antaramuka HyperOS berasaskan Android 14, Xiaomi menjanjikan telefon pintar ini akan menerima dua kemaskini naiktaraf Android dan kemaskini keselamatan untuk selama 4 tahun. Buat masa ini tidak diketahui sama ada telefon pintar ini akan hadir menemui pengguna di Malaysia atau tidak.