Redmi 12 terlebih dahulu memasuki ke pasaran Thailand pada bulan lepas. Kini, tiba giliran Malaysia pula akan menerima kemasukan telefon pintar baharu keluaran sub-jenama Xiaomi ini.
Sama seperti model yang dilancarkan di pasaran Thailand, Redmi 12 di Malaysia juga menampilkan skrin Full HD+ 6.79-inci, pemprosesan MediaTek Helio G88 dan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 18W melalui USB-C.
Bicu audio 3.5mm juga terdapat pada model kali ini bersama-sama sokongan ketersambungan lain seperti Bluetooth 5.3, NFC serta Wi-Fi. Turut disediakan sokongan sinaran infra-merah untuk telefon pintar yang menggunakan antaramuka MIUI 14 yang berasaskan Android 13.
Untuk kameranya, Redmi 12 menawarkan kamera utama 50MP, kamera lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Di hadapannya pula disediakan kamera 16MP pada bahagian paparan berpenebuk lubangnya. Apa yang lebih menarik, lebih pintar berharga mampu milik ini didatangkan dengan ciri tahan lasak berpenarafan kerintangan air dan debu IP53.
Redmi 12 hadir dengan dua pilihan konfigurasi RAM dan storan iaitu 4GB + 128GB dan 8GB + 256GB dengan harga masing-masing RM599 dan RM699. Telefon pintar ini dijadualkan memasuki pasaran Malaysia pada 15 Julai ini menerusi wakil pengedar yang sah dan juga kedai dalam talian Xiaomi rasmi di Lazada dan Shopee.